Selepas Ketua Pemuda Umno Pontian, Mohd Helmi Buang meminta Presiden Umno
Ahmad Zahid Hamidi 'berehat' daripada memimpin parti itu, giliran Ketua Pemuda
Umno Seremban, Zool Amali Hussin pula menggesa perkara yang sama.
Menurut Zool Amali, perkara itu telah lama disuarakan oleh ahli Umno di
peringkat akar umbi terutama golongan muda.
“Saya senada dengan Ketua Pemuda Umno Pontian malah perkara ini sudah lama
disuarakan dalam mesyuarat Umno cawangan, bahagian dan Pemuda bahagian di
Seremban.
“Saranan ini bukan kerana kami tidak hormat presiden Umno ataupun menidakkan
keputusan pemilihan parti, tapi inilah suara pemuda, suara akar umbi.
"Kami tidak membenci presiden, cuma kami sayangkan Umno,” katanya dipetik
Utusan Online hari ini.
Semalam, Mohd Helmi meminta Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu
kerana menurutnya pendekatan pemimpin perlu ada perubahan yang ketara mengikut
arus zaman.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Helmi mempertahankan pendiriannya
walaupun terpaksa berdepan tindakan.
"Saya merasakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berehat
bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu membawa perubahan kepada parti,"
katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
"Saya reda, terpulang kepada pucuk pimpinan parti jika nak hukum saya.
"Saya pertahankan pendirian (supaya presiden berehat) saya dan tak akan
berpatah balik," katanya kepada Malaysiakini.
Saranan Mohd Helmi itu disanggah beberapa pemimpin sayap parti itu.
Antaranya Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid yang berkata ahli Umno
sepatutnya bersatu padu dan berdiri teguh di belakang presiden ketika Umno
berdepan situasi sukar.
'Beri Zahid peluang'
Sementara itu, dalam satu kenyataan malam ini, Ketua Pemuda Umno Sabah, Ir
Abdul Aziz Julkarnain berkata Zahid perlu diberikan peluang untuk terus
memimpin Umno.
"Sebagai ahli parti, kita harus menghormati perlembagaan parti. Beliau telah
dipilih sebagai presiden melalui pemilihan yang sah.
"Beri beliau peluang untuk mengubah Umno. Meminta beliau berundur tidak akan
menyelesaikan apa-apa kecuali mempromosikan lebih banyak perpecahan dalam
parti," kata pemimpin parti Melayu itu dalam kenyataan yang ditulis dalam
bahasa Inggeris.
Kata Abdul Aziz, presiden tidak mempunyai kuasa mutlak dan Umno masih
mempunyai Majlis Tertinggi untuk melakukan semak dan imbang dalam parti itu.
"Sekiranya kita mempertikaikan presiden, kita harus meminta seluruh anggota
majlis tertinggi untuk mengundurkan diri.
Zool Amali Hussin. |
Mohd Helmi. |
Join our Telegram Channel