PETALING JAYA: Malaysia kini mempunyai rekod paling buruk di rantau Asia
Tenggara dalam memerangi wabak Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib
Razak.
“Jika dilihat daripada segi penularan tempatan dan bilangan kes berbanding
saiz penduduk, Malaysia mempunyai rekod Covid-19 paling teruk antara semua
negara ASEAN setelah kita melepasi Filipina pada minggu lepas,” katanya dalam
kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia tidak lagi berada dalam senarai negara yang paling
berjaya mengawal Covid-19.
Najib berkata, Malaysia terlepas peluang membendung gelombang ketiga Covid-19
pada awal Okt lalu apabila kerajaan tidak menyekat perjalanan merentas negeri.
Membandingkan situasi pandemik di Singapura, Najib berkata tindakan tegas dan
awal republik itu mengurangkan penularan dalam komuniti meskipun statistik
jangkitan tinggi berbanding saiz penduduknya.
Katanya, ketika penularan berlaku dalam kalangan pekerja asing dalam sektor
pembinaan dan pembuatan, negara itu bertindak pantas dengan mengasingkan
golongan pekerja yang tidak dibenarkan keluar dari asrama selagi tidak
disahkan bebas Covid-19.
“Sebilangan pekerja asing juga diasingkan dan dipindahkan oleh kerajaan
Singapura ke kapal-kapal dan kem khidmat negara supaya asrama tidak begitu
sesak.
“Lalu satu persatu, asrama pekerja asing dibuka semula apabila penularan
Covid-19 terhenti selepas dua hingga tiga bulan dikurung. Akhirnya semua
asrama pekerja asing disahkan bebas Covid-19 pada Ogos dan kegiatan industri
di Singapura bersambung,” kata Najib.
Najib berkata, Malaysia perlu belajar daripada kesilapan dan akur bahawa
tindakan lebih tegas pada peringkat awal berupaya mencegah mudarat lebih teruk
dan berpanjangan.
Join our Telegram Channel