Bekas ahli majlis tertinggi (MT) Umno, Mohamed Nazri Aziz, hari ini menyatakan
sokongannya kepada gesaan Najib Razak supaya parti itu keluar secepatnya
meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Nazri sekiranya lebih lama Umno berada dalam kerajaan pimpinan
Muhyiddin Yassin itu, ia hanya akan menyulitkan situasi partinya kelak.
“Untuk parti, saya setuju dengan apa dikatakan Najib (untuk keluar dari PN
segera).
“Lebih lama kita tinggal (bersama PN) ia akan sukar untuk kita nanti dan
hari-hari dia akan curi ahli kita [...] Kita kena keluar secepatnya,” katanya
ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Najib yang juga bekas presiden Umno berkata parti itu dilayan
seperti ‘anak tiri’ dalam kerajaan PN. Untuk rekod PN kini diterajui Muhyiddin
Yassin yang juga bekas timbalan presiden Umno.
Dia dipecat daripada jawatannya dalam Umno selepas lantang mengkritik Najib
dalam isu skandal 1MDB.
Justeru, katanya Umno harus keluar daripada pentadbiran pimpinan Muhyiddin
jika mahu mempertahankan kedudukannya sebagai parti yang berpengaruh.
Umno sendiri sebelum ini mendesak agar PRU diadakan segera dengan alasan
supaya kerajaan yang mendapat mandat rakyat dapat dibentuk.
Ia berlaku ketika hubungan Umno dengan Bersatu semakin tegang ekoran satu demi
satu bahagian Umno mengemukakan usul untuk menamatkan kerjasama di antara
mereka.
Baru-baru ini, mesyuarat MT Umno pula memutuskan untuk membawa usul berkenaan
hubungan parti mereka bersama Bersatu ke perhimpunan agung parti pada hujung
bulan ini.
Sementara itu, Nazri juga berharap agar partinya tidak kerap bertegah sesama
sendiri.
“Saya harap juga ahli Umno kita berhenti mengkritik juga. Saya hairan yang
banyak 'bantai' pemimpin kita, orang kita juga.
“Sepatutnya yang hentam kita, Bersatu. Ini orang Umno jadi macam ikan piranha,
makan sesama sendiri,” katanya lagi.
Kemelut dalaman Umno dapat dilihat berdasarkan beberapa situasi sejak
kebelakangan ini.
Pada 5 Jan lalu, Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa, mendedahkan Presiden Umno
Ahmad Zahid Hamidi memberikan sokongan secara hitam putih kepada Presiden PKR,
Anwar Ibrahim, untuk diangkat menggantikan Muhyiddin.
Untuk rekod Muhyiddin merupakan presiden Bersatu yang bertanggungjawab membawa
parti itu meninggalkan PH sekali gus menjatuhkan kerajaan yang mendapat mandat
dalam PRU ke-14 lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Najib: Jika terus kekal dalam PN, UMNO akan berakhir
- KJ sedia lepaskan jawatan menteri jika diarah Umno
- MKT UMNO muktamadkan esok sama ada pemimpin parti keluar kerajaan, kata Ahmad Maslan
- Kes mahkamah zalim antara punca Umno tak puas hati dengan PN, dedah Ahmad Maslan
- UMNO sah putus hubungan dengan PPBM
- KJ balun Mat Maslan beri alasan kes mahkamah sebab Umno tolak Bersatu
- Jangan putarbelitkan kenyataan Ahmad Maslan – Najib
- Ketua Penerangan nafi tuduhan Annuar Musa UMNO mahu bekerjasama dengan DAP
- Nazri setuju Umno tinggalkan kerajaan PN secepatnya
- PANAS: Ahmad Jazlan umum tarik sokongan, Kerajaan PN bakal tumbang
- KJ tak perlu lukakan hati kawan dengan sindiran – Nazri Aziz
- Hari-hari curi ahli UMNO, bukan kita tak tahu – Nazri
- Lebih ramai ahli Parlimen Umno akan tarik sokongan terhadap Muhyiddin, kata Nazri
- UMNO tidak gila mahu PRU semasa musim Covid-19 – Nazri
Join our Telegram Channel