PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali mendakwa ‘perlakuan tidak
bermoral’ Anwar Ibrahim antara punca mendorongnya meninggalkan parti itu dan
menyertai PPBM.
Dalam jawapannya terhadap saman dikemukakan pengundi Gombak terhadapnya
berkata beliau akan mengemukakan bahan bukti yang tidak pernah didedahkan
kepada umum ketika perbicaraan kes itu kelak.
Pengundi terbabit mendakwa beliau melanggar tanggungjawab fidusiari dengan
menyertai PPBM, seterusnya mengakibatkan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada
Februari 2020.
Azmin berkata keputusan itu dibuat selepas menganggap Anwar tidak layak
memimpin PKR atau menjadi perdana menteri seterusnya.
Beliau memetik beberapa dakwaan kuat terhadap Anwar membabitkan amalan seksual
yang tidak bermoral sebagai seorang Muslim.
Azmin berkata, dua individu iaitu Mohammed Yusoff Rawther dan Aidil Azim Abu
Adam mendedahkan mereka ‘mangsa’ perlakuan yang tidak bermoral itu.
“Dakwaan salah laku seksual dibuat terhadap Anwar sejak beliau kembali
memimpin PKR,” katanya.
Anwar menafikan semua tuduhan salah laku seksual itu, manakala Aidil Azim
kemudian mendakwa dimanipulasi untuk mengatakannya.
Azmin turut mendakwa Anwar menyebabkan perbalahan dalam kalangan pemimpin PH
kerana sering mendesak mereka menjadikannya perdana menteri secepat mungkin
“Saya sudah tidak lagi mampu kekal dengan PKR dan PH kerana ada perbalahan
berhubung pangkat PM antara kami, dan ini tidak boleh diselesaikan secara
baik,” katanya.
Azmin menambah beliau teguh memegang pendirian bahawa Dr Mahathir Mohamad
patut terus memimpin Malaysia.
Azmin juga berkata PH ‘goyah’ selepas Anwar dibebaskan dari penjara dan
memasuki semula arena politik, susulan PH mengambil alih pentadbiran
persekutuan.
“Sejak itu beliau menunjukkan sifatnya yang sebenar iaitu keinginan menjadi
perdana menteri, dan bukannya agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini,”
tambahnya.
Azmin turut mendakwa pengampunan Anwar yang diberikan selepas 9 Mei 2018
adalah ‘cacat’ kerana tidak cukup anggota dalam Lembaga Pengampunan Wilayah
Persekutuan untuk mendengar rayuan itu.
Tambahnya, beliau akan menghubungi Yusoff dan Aidil untuk memberi keterangan
bagi pihaknya apabila kes saman oleh pengundi terbabit dibicarakan kelak.
“Saya akan mengemukakan bahan bukti yang tidak pernah didedahkan kepada umum
ketika perbicaraan kelak,” katanya.
Sepuluh pengundi itu meminta perisytiharan bahawa Azmin, sebagai pemegang
amanah, mempunyai kewajipan fidusiari sebagai wakil rakyat.
Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa Azmin melakukan penipuan terhadap
mereka dan telah melanggar sumpah perlembagaannya di bawah Artikel 59 (1),
dibaca bersama Jadual 6 Perlembagaan Persekutuan.
Join our Telegram Channel