Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan isu peruntukan RM35.43 juta untuk
membina dewan orang ramai di Pagoh yang dibangkitkan ahli Parlimen PH.
PMO dalam kenyataan berkata, jumlah peruntukan itu adalah untuk membina tiga
buah dewan, bukan sebuah, dan perolehan projek itu dibuat mengikut tatacara
secara tender yang diluluskan Kementerian Kewangan.
"Peruntukan pembangunan tersebut ialah untuk pembinaan tiga buah dewan orang
ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit
Pasir, Muar bernilai RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar
bernilai RM5.77 juta.
"Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan
terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh
Kementerian Kewangan," kata PMO.
Menurut PMO lagi, projek tersebut adalah untuk keperluan masyarakat setempat
dan menyuarakan kekesalannya atas dakwaan yang ditularkan.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir
meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan projek di kawasan
Parlimennya itu.
Dia antara lain mempersoalkan kewajaran mengeluarkan belaja jutaan ringgit
untuk projek tersebut di saat negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19.
Ahli Parlimen Salahuddin Ayub juga menyuarakan pandangan sama, dan mendakwa
dia mendapat khabar yang projek tersebut melibatkan rundingan langsung.
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen kecam projek dewan Pagoh terlalu mahal RM35 juta
Join our Telegram Channel