Isteri seorang ahli politik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang
di Kuala Lumpur, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis
di rumahnya.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan
dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, kerana kes melibatkan
hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama dengan seorang lagi yang
masih belum dituduh, didakwa telah mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat
1,580.4 gram dan mengedar cecair jenis dadah sama berisipadu 7.87 liter di
sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di Kuala Lumpur pada 7.30 malam, 20
Jan.
Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen
39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen
39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang
memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika
tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit
kesalahan.
Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih
belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat,
tarikh dan masa sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut
Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan
hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika
sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala
tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.
Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes. Tertuduh ditahan di
Penjara Kajang.
Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan
ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu
rumah suspek di Ampang.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel