Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz adalah antara lima anggota Dewan
Rakyat dari Umno yang dipotong peruntukannya oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin
Yassin.
Menurut Nazri apa yang dilakukan presiden Bersatu itu sebenarnya merupakan
hukuman kepada rakyat Padang Rengas yang diwakilinya.
"Dia (Muhyiddin) kena ingat, kalau dia nak hukum saya, bukan saya (yang
menanggungnya). Ini rakyat tau? Dia menghukum rakyat.
"Saya dah sokong bajet, dia bertanggungjawab untuk memastikan rakyat di Padang
Rengas mesti mendapat peruntukan yang dijanjikan kepada ahli parlimen lain
yang menyokong bajet," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Menurut Nazri lagi perdana menteri perlu menunaikan janji yang dinyatakan
dalam Belanjawan 2021 kerana rakyat Padang Rengas berhak mendapatkan
peruntukan itu.
Pun begitu Nazri dilihat enggan memberikan komen lanjut.
"Terserah kepada dia jika dia nak mendiskriminasi rakyat di Padang
Rengas.
"Wang itu tiada kena-mengena dengan saya, tugas saya hanyalah menyerahkan
peruntukan itu kepada rakyat.
"Sekiranya orang tanya saya, saya akan beritahu mereka PN (Perikatan Nasional)
tak bagi peruntukan, itu saja," katanya.
Pada 3 Februari, Presiden Umno
Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli parlimen Bagan Datuk mendedahkan peruntukan kawasannya - dan
empat ahli parlimen Umno yang lain - dipotong daripada RM3.7 juta menjadi
RM100,000.
Ahli parlimen lain yang dipotong peruntukannya termasuk Nazri, Najib Razak
(Pekan), Ahmad Maslan (Pontian) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Untuk rekod Nazri dan Ahmad Jazlan adalah antara ahli parlimen yang
mengumumkan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai
perdana menteri.
Langkah itu menyebabkan status dukungan yang diterima ahli parlimen Pagoh itu
menjadi persoalan. Pembangkang dan beberapa ahli parlimen Umno sendiri
mendakwa Muhyiddin kini sudah tiada majoriti di parlimen.
Ketika ditanya apakah Nazri dihukum kerana secara terbuka menarik sokongannya
terhadap Muhyiddin, dia menjawab: "Saya tidak kisah. Saya tidak peduli."
"Saya tak tau, saya tak boleh speculate, tapi tanya dia (Muhyiddin).
"Tapi saya nak beritau, kami semua telah delivered, luluskan budget.
"Kita tunai kita ada janji, jadi sepatutnya peruntukan-peruntukan yang diberi
kepada wakil rakyat, mesti dapat, kita dah sokong," katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Zahid dakwa Parlimennya hanya dapat peruntukan RM100,000 seperti Ahli Parlimen pembangkang
Join our Telegram Channel