Bekas perdana menteri Najib Razak menuntut supaya bekas peguam negara Tommy
Thomas menarik semula dakwaan terhadap Najib di dalam memoirnya, yang
mengatakan bahawa ahli parlimen Pekan itu memainkan peranan dalam pembunuhan
warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam notis tuntutan kepada Thomas, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah
berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM10 juta dan mengemukakan
“permohonan maaf” yang sebenar-benarnya yang akan ditentukan oleh peguam.
Thomas diberi tempoh sehingga Jumaat tengah hari untuk berbuat demikian.
Menurut Shafee, jika tidak pihaknya akan mengemukakan saman fitnah terhadap
Thomas awal minggu depan.
Shafee berkata, kenyataan Thomas dalam memoirnya yang baru dilancarkannya, "My
Story: Justice in the Wilderness” adalah sangat cuai, melulu, tidak
bertanggungjawab, berniat jahat dan bertujuan untuk mencemarkan imej dan
reputasi baik Najib di mata orang ramai dan seterusnya mendedahkan anak
guamnya kepada kebencian, cercaan, penghinaan, ejekan dan cemuhan orang
ramai."
“Kamu menggambarkannya sebagai pembunuh dengan kesimpulan secara langsung dan
sindiran yang sama sekali tidak benar, palsu dan tidak mempunyai asas atau
bukti," katanya.
"Kenyataan anda yang mempertikaikan perkara itu jelas bermotifkan mala fide
(berniat jahat) dan dilakukan demi kepentingan diri untuk mencari publisiti
murahan, sensasi dan keuntungan," dakwa Shafee.
Shafee berkata kenyataan dalam buku itu telah menimbulkan rasa tertekan dan
memalukan Najib terutamanya apabila kenyataan itu dibuat oleh bekas peguam
negara Malaysia.
“Kemudian, kamu dengan sengaja membuat kenyataan ini walaupun mengetahui
bahawa Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menolak percubaan untuk
menyemak semula keputusan mereka yang berkaitan dengan sabitan terhadap
Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar," katanya.
Dalam memoirnya, Thomas berkata Sirul telah memberikan bukti yang membenarkan
dakwaan tertuduh bersama Azilah, yang membabitkan keterlibatan Najib Razak
dalam pembunuhan Altantuya.
Thomas berkata dia diberitahu Sirul sebelum itu telah memaklumkan kepada pihak
berkuasa Australia bahawa dia diarahkan untuk membunuh perisik asing, seperti
yang didakwa oleh Azilah.
Menurut Thomas, ia berdasarkan wawancara oleh seorang timbalan pendakwa raya
kanan yang diarahkannya untuk bertemu Sirul di pusat tahanan imigresen
Villawood di Australia.
Kedua-dua Sirul dan Azilah bekas anggota pasukan komando khas polis. Mereka
disabitkan membunuh warga Mongolia pada tahun 2006.
Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia setelah Mahkamah Rayuan
membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kenapa Tommy tak tulis pasal gugur kes Guan Eng, dakwa musuh politik Dr M? tanya Najib
- Tommy Thomas dedah Dr M, Guan Eng, IGP tak layan cadangan untuk tangkap Jho Low
- Tuduh bunuh Altantuya, Najib tuntut Tommy tarik balik dakwaan, tuntut ganti rugi RM10 juta
- Tommy Thomas disiasat kerana memfitnah
- Tommy langgar sumpah – Ahmad Zahid
- UMNO lapor polis buku Tommy Thomas
Join our Telegram Channel