KUALA LUMPUR - Polis kini sedang mengesan individu yang terlibat aplikasi
Sugarbook untuk siasatan berikutan aplikasi itu didakwa menjadi platform
kegiatan tidak bermoral.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi
Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam, siasatan dan
risikan berkenaan kes ini masih dijalankan.
"Kita dalam proses mengesan mereka yang terlibat.
"Polis juga akan memastikan sama ada aplikasi (Sugarbook) itu menganjurkan
perkara seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada
Isnin.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan berada pada kedudukan
ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang
mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi
Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau
lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.
Pada Ahad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dari
sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah
Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari
'sugar daddy'.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed
berkata, kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Sugar daddy: Polis buru individu terlibat
- Tindakan SKMM sekat Sugarbook kurang beri kesan, kini dengan nama Sucrebook
Join our Telegram Channel