KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengambil
keputusan untuk memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul
Zulkarnain Abd Munaim.
Lapor Sinar Harian, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Bersatu Perak, Datuk
Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi hari ini.
Hasnul yang kini menjadi wakil rakyat bebas telah dipecat daripada parti itu
selepas persidangan Dun pada 4 Disember tahun lalu yang menyaksikan Datuk Seri
Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas gagal
mendapat sokongan percaya.
Pemecatan itu juga difahamkan berpunca daripada tindakannya yang menyokong
Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
Menurut Zainol Fadzi lagi perkara itu sudah jelas berdasarkan kenyataan
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam laporan media
sebelum ini.
Bagaimanapun, Hasnul memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat
mengenai perkara pemecatan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu daripada
laporan media.
Join our Telegram Channel