Penyatuan antara Umno dan Bersatu sukar berlaku kerana tiada kejujuran dalam
kerjasama yang dibina antara kedua-dua parti, kata Pengarah Pilihan Raya Umno,
Tajuddin Abdul Rahman.
Katanya, Umno sememangnya mahu melihat penyatuan parti-parti Melayu, namun
bukanlah dengan cara yang boleh membawa kehancuran kepada parti itu.
"Memanglah harapan Umno, harapan Bersatu mungkin dan memanglah juga harapan
orang Melayu keseluruhan hendak melihat kedua parti ini termasuk PAS juga
bersatu.
"(Tetapi) di akar umbi dia (Bersatu) mencuri ahli Umno, dia ajak ahli Umno
menyertai Bersatu. Dia nak menggugat politik Umno, parti Umno di peringkat
akar umbi.
"Kita tak boleh membiarkan ini berlaku, nampak sangat tujuan Bersatu bukan
untuk membantu Umno tapi untuk menghancurkan Umno, memperkuatkan partinya,"
katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.
Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin memaklumkan parti itu akan
membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini.
Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga akan turut
dibincangkan.
Ini selepas Umno menghantar surat mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu
akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) ke-15 bermula.
Hamzah pada kenyataannya pagi tadi mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid
Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan kemudiannya mendedahkan keputusan Majlis
Tertinggi (MT) Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang PRU-15 adalah
selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak Umno menyatakan pendirian.
Kata Ahmad, dalam pertemuan 15 Februari antara Bersatu, PAS dan Umno,
Muhyiddin meminta Umno membuat pendirian yang jelas mengenai kerjasama dengan
Bersatu sebelum rundingan kerusi dapat dilakukan.
'Jangan salahkan Umno'
Dalam pada itu Tajuddin berkata, Umno tidak boleh dipersalahkan apabila
membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
Katanya, Umno telah berkorban menyokong pembentukan kerajaan PN walaupun tidak
memegang jawatan perdana menteri.
"Jangan salahkan Umno dalam perkara ini. Jangan salahkan Umno. Umno telah baik
hati bersetuju memberikan sokongan wakil-wakil rakyat Umno, dibenarkan oleh
parti untuk menyokong kerajaan.
"Cuba kata Umno tak sokong, bolehkah kerajaan PN terbentuk? Tak adalah.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel