PETALING JAYA – Spekulasi tarikh pernikahan selebriti Neelofa bersama
tunangnya, Haris Ismail terus diperkatakan walaupun kedua-duanya masih
mengambil pendekatan mengunci mulut.
Menerusi satu ciapan yang dimuat naik seorang petugas media dalam Twitternya,
dia mendakwa pasangan itu bakal diijabkabulkan di hotel mewah, St. Regis Kuala
Lumpur.
Bahkan, pemilik akaun Twitter bernama Zulhelmi Zainal Azam itu turut
mendedahkan bahawa Neelofa dan Haris akan disatukan pada Jumaat.
“Neelofa dan PU Riz bakal mendirikan rumah tangga Jumaat ini dan difahamkan
majlis meraikan pasangan selebriti itu akan di adakan di The St. Regis Kuala
Lumpur,” ciap Zulhelmi.
Sementara itu, sumber daripada sebuah agensi berita tempatan turut melaporkan
bahawa Neelofa, 32, dan Haris, 26, bakal bernikah di sebuah hotel terkemuka di
kawasan berhampiran KLCC pada hari
Sabtu
nanti.
Turut dilaporkan bahawa majlis tersebut akan dijalankan mengikut prosedur
operasi standard (SOP) yang ketat dan hanya dihadiri keluarga terdekat mereka.
Sejak kelmarin, desas-desus perkahwinan yang dicanang sebagai Wedding Of The
Year itu semakin hangat diperkatakan selepas tersebar beberapa keping gambar
memaparkan Haris berada di sebuah kedai songket bersama seorang lelaki yang
dipercayai ahli keluarga Neelofa.
Meskipun khabar angin tentang tarikh pernikahannya tersebar luas, Neelofa
mahupun Haris masih mengunci mulut dan tiada sebarang perkongsian rasmi
tentang persiapan hari bahagia mereka berdua.
Untuk rekod, bekas juara Dewi Remaja 2009/2010 itu bertunang dengan Haris yang
merupakan bekas peserta program Pencetus Ummah pada 1 November tahun lalu.
Bagaimanapun, pada akhir tahun lalu, hubungan pasangan tersebut dikatakan
bermasalah selepas ahli keluarga Neelofa memuat naik pelbagai hantaran berbaur
perli dipercayai ditujukan kepada Haris.
Hujung Januari lalu, Neelofa dalam satu sidang media maya tampil menjelaskan,
hubungannya dengan Haris baik-baik sahaja.
Join our Telegram Channel