MELAKA – Pokok ikonik yang menjadi lokasi tumpuan pelancong merakamkan gambar
kenangan saat berada di kawasan Bangunan Stadthuys atau ‘bangunan merah’ di
sini akhirnya ‘rebah’ awal pagi tadi.
Pokok jenis Batai Laut berusia 127 tahun yang ditanam sejak penjajahan British
itu tumbang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi dipercayai berpunca daripada
akarnya yang reput.
Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Moahzam
Shaari berkata, pihaknya menerima berita sedih itu dan tiba di lokasi pukul 7
pagi untuk memeriksa keadaan pokok tersebut.
“Kita percaya pokok ini telah tumbang disebabkan akarnya telah reput setelah
‘berdiri’ dalam tempoh agak lama iaitu sejak di zaman pemerintahan British
pada tahun 1894.
“Kami tidak menolak kemungkinan faktor persekitaran seperti laluan trafik yang
sibuk turut menyumbang kepada kejadian itu. ketika ini, kerja-kerja
pembersihan sedang dijalankan dan dijangka selesai pukul 2 petang,” katanya
ketika ditemui di lokasi, pagi tadi.
Moahzam memberitahu, pihaknya akan melakukan penanaman semula pokok baharu di
kawasan terbabit bagi menjaga imej lokasi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan
Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNESCO).
“Kita akan menanam semula pokok baharu dalam masa terdekat, namun untuk
mendapatkan pokok yang mampu bertahan lama seperti ini memang sangat susah.
Join our Telegram Channel