Slim River: Lagu Bila Bunga Dipetik Orang dan Kerana Menyintaimu menjadi
siulan anak muda sekitar 90-an lalu namun kini penyanyinya terpaksa
mengambil upah mengangkut sampah demi kelangsungan hidup.
Vokalis kumpulan Sejati, Yazid Alias, 55, berkata, akibat terkesan pandemik
Covid-19 menyebabkan dia tidak lagi mendapat undangan membuat persembahan
daripada mana-mana pihak.
Katanya, demi kelangsungan hidup dia terpaksa beralih kerjaya dengan mencari
pekerjaan halal yang boleh menyara kehidupan keluarga.
"Setiap hari, bermula jam 9 pagi, saya membonceng motosikal roda tiga untuk
mengambil upah mengutip sampah di sekitar Kampung Balun dan Rancangan
Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun.
"Setiap rumah yang mendapatkan perkhidmatan saya akan memberi upah sebanyak
RM10 sebulan dan ada juga yang bermurah hati memberi lebih selepas melihat
kesungguhan kerja yang saya buat ini," katanya ketika ditemui, dekat sini.
Yazid berkata, penduduk sentiasa memberi sokongan kerana dapat membantu
memastikan kawasan kampung bersih dan bebas daripada sampah.
Dia berkata, walaupun seketika dulu pernah popular sebagai artis dan
dikenali ramai namun dia tidak sesekali malu dengan pekerjaan yang dilakukan
sekarang.
"Buat apa nak malu mengangkut sampah kerana ini kerja halal dan saya tidak
kisah apa kerja yang ditawarkan asalkan halal untuk menyara keluarga saya.
"Saya bersyukur kerana masih lagi dikurniakan tubuh yang sihat untuk
berkerja menyara keluarga dan ketika cuti sekolah, anak saya, Putera
Norsyareza, 12, juga membantu," katanya.
Menurutnya, selepas mengangkut dan meletakkan sampah di tong sampah
disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdekatan Taman Tasik Yang
Dipertua (YDP) Slim River, dia membersihkan tempat meletak sampah dengan
hampas kelapa.
"Hampas kelapa ditabur pada pelantar untuk menghilangkan bau dan menyerap
air sampah pada bahagian pelantar itu sebelum saya kembali mengangkut sampah
di rumah penduduk.
"Walaupun pekerjaan ini bergelumang dengan bau sampah yang busuk namun demi
kelangsungan hidup maka saya terpaksa lakukan juga bagi menyara kehidupan
keluarga," katanya.
Yazid berkata, dia menasihati artis baharu yang sedang mencipta nama agar
beringat ketika popular dengan membuat tabungan masa depan secukupnya.
Katanya, setinggi mana di atas, lambat laun berada di bawah juga menyebabkan
mereka perlu membuat persediaan.
"Saya reda dan bahagia dengan pekerjaan yang saya lakukan sekarang dan yang
penting saya mampu berdikari untuk keluarga saya," katanya. – Hmetro
Please subscribe
Join our Telegram Channel