Dua laporan polis dibuat berhubung tuduhan Dr Mahathir Mohamad bahawa orang
Melayu mula marah kepada istana.
Salah seorang pengadu, Lee Ket Woon yang mengaku sebagai ahli Pertubuhan
Tionghua Seberang Prai, Pulau Pinang, mahu polis menyiasat sekiranya kenyataan
Mahathir itu mengandungi unsur-unsur hasutan.
Jurujual berusia 43 tahun itu juga mempersoalkan adakah Mahathir dan
penyokongnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila berkumpul di luar Istana Negara baru-baru
ini.
"Saya harap Ketua Polis Negara akan siasat jika dia (Mahathir) menyentuh
perkara yang tidak menghormati raja, terutama Yang di-Pertuan Agong,"
tambahnya dalam laporannya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Shukor Aziz,
dalam laporannya mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu membuat kenyataan
palsu.
"Kenyataan Tun Dr Mahathir ini adalah satu kepalsuan kerana saya tidak
mendapati wujudnya sejumlah besar orang Melayu yang marah kepada Raja-Raja,
malah petisyen bagi menuntut Yang di-Pertuan Agong menamatkan darurat yang
dianjurkan oleh Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat hanya
mendapat 40,000 tandatangan sahaja," katanya.
Pengurus berusia 59 tahun itu juga berpendapat kenyataan Mahathir adalah satu
kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa
perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau
bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
"Kesalahan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir ini sangat serius kerana beliau
adalah mantan perdana menteri dan masih lagi merupakan ahli parlimen yang
ramai pengikut.
"Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya," katanya.
Kedua-dua laporan tersebut dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di
Kuala Lumpur hari ini.
Selasa lalu, Mahathir memberitahu wartawan di luar Istana Negara bahawa orang
Melayu mula marah kepada Istana.
"Orang Melayu biasa tak derhaka pada raja. Tapi sekarang ni terpaksa sampaikan
pada setiausaha sulit (kepada Yang di-Pertuan Agong) bahawa orang Melayu mula
rasa marah pada raja," katanya.
Mahathir berkata, "perbezaan pendapat" itu disebabkan oleh kurangnya
pengetahuan rakyat mengenai peranan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam
menasihati Agong berhubung pengisytiharan darurat.
Join our Telegram Channel