SINDIKET kartel projek yang telah memonopoli sebanyak 345 tender bernilai
RM3.8 billion dilumpuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
selepas menahan tujuh individu termasuk ketuanya yang berusia 47 tahun.
Menurut sumber, kesemua mereka ditahan tengah malam semalam di pusat operasi
sindiket dan ketika serbuan dilakukan, hampir kesemua ahli sindiket sedang
mengisi beberapa borang tender.
“Sindiket kartel projek ini telah memonopoli tender daripada beberapa
kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek
sebanyak RM3.6 billion.
“Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang,” katanya.
Jelas sumber lagi, ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat
yang digunakan untuk memasuki tender/sebutharga di kementerian dan agensi
yang terlibat.
Suspek juga dikatakan mewujudkan 150 syarikat miliknya yang berbeza dengan
menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat.
“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan
projek-projek pembangunan.
“Selain itu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk
memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender
/ sebutharga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya,” ujarnya.
Kata sumber lagi, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang
dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga
jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk
menghantar borang tender / sebutharga.
Menurutnya, taktik “mengepung harga” iaitu dengan menyertai sesuatu tender
dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan
ketua sindiket.
“Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang
berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.
“Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini telah menggunakan
nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat dibawah naungannya.
“Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisyen sebagai imbuhan bagi
penggunaan nama dan butir-butir peribadi.
“Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi
kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.
“Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk
melayakkan mereka memasuki tender atau sebutharga berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi
mengesahkan tangkapan tersebut.
Ujarnya, kes disiasat dibawah seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia.
Beliau juga tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa
terdekat. – SM
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel