AGONG: Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin



Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, maklum Datuk Pengelola Bijaya DirajaIstana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kenyataan itu selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

"Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat," kata Ahmad Fadil.


Agong juga menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin, jelasnya.

Seri Paduka Baginda juga, kata Ahmad Fadil turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya "pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara."

"Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara," katanya lagi.

[Berita penuh menyusul]


Berikut kenyataan penuh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin:

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al–Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.


Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti

kelompok 80% (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.


Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan ini menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus mengorbankan masa serta penat lelah dalam usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram