Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyemak terlebih dahulu dakwaan
pihaknya memadam fatwa berkaitan “Amanat Haji Hadi” di laman sesawangnya.
"Saya semak dulu,” kata Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat (UKK)
Jakim, Zakaria Othman ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, tular tangkap layar seorang pengguna Twitter bertanyakan Jakim
apakah pihaknya telah memadam fatwa Amanat Haji Hadi.
"Apakah benar @MyJakim telah memadam fatwa amanat Haji Hadi yang telah difatwa
haram pada 2002?
"Jangan permainkan Abdul Aziz Jusoh rmainj," soal pemilik akaun anti-PAS
@apanakdikato di Twitter.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan maklumat yang dikongsi pengguna di
atas.
Bagaimanapun, carian Malaysiakini di laman web semakan fatwa Sumber Maklumat
Al-ahkam al-Fiqhiyyah (E-SMAF) mendapati tiada rekod berkaitan fatwa itu
dipaparkan.
Laman kelolaan Jakim itu berfungsi merakam fatwa daripada seluruh negeri di
Malaysia, mengelaskannya mengikut kategori dan merekodkan statusnya sama ada
diwartakan atau tidak.
Sejak dilontarkan pada tahun 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala
Terengganu, ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu mengundang kritikan
kerana dianggap memecah-belahkan umat Islam.
Laporan media menyebut Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan Majlis
Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan “Amanat Hadi” sebagai sesat.
Hadi, ketika bersama pembangkang, pada 2013 mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan
mengeluarkan surat rasmi mengenai amanat yang difatwakan bercanggah dengan
kepentingan masyarakat Islam, kemuliaan agama serta prinsip dakwah.
Memetik fatwa pada 21 November 1984, Bernama melaporkan, jika terdapat tuduhan
atau anggapan oleh anggota atau penyokong PAS atau sesiapa sahaja terhadap
anggota Umno, pemimpin atau pegawai kerajaan beragama Islam sebagai kafir,
atau sebaliknya (Umno menuduh PAS), ia adalah tidak benar dan sia-sia.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Dr Abdul Shukor Husin berkata,
anggota Umno atau sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah tetap Islam
selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam negara ini.
Fatwa itu turut menyatakan tuduhan mengatakan seseorang yang beragama Islam
sebagai kafir adalah perbuatan haram yang perlu diberhentikan serta-merta dan
hendaklah bertaubat kepada Allah.
Amanat itu antaranya menyebut PAS menentang Umno kerana didakwa mengekalkan
perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah.
“Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi
mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka,” menurut amanat itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Apakah benar @MyJAKIM telah memadam fatwa amanat haji hadi yg telah di fatwa kan haram pd 2002?
— Membalak bersama ulama cum Presiden Walaun (@apanakdikato) June 21, 2021
Jgn permainkan hukum sb politik! pic.twitter.com/gzjWCSSqcw
Join our Telegram Channel