Bot uzur jadi tempat tidur lima beranak

Samsuddin (kanan) melihat Nofarhana mengajar tiga anaknya belajar di rumah bot uzur mereka di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 benar-benar membuatkan seorang pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir dekat sini ‘jatuh terduduk’.

Bukan sahaja langsung tiada pendapatan ekoran penutupan sektor pelancongan malah Samsuddin Khalid, 45, bersama isteri, Norfarhana Yusop, 29, dan empat anak mereka termasuk tiga perempuan berusia lapan bulan hingga 10 tahun terpaksa hidup melarat dengan menum­pang teduh di dalam rumah bot mereka.

Tambah malang rumah bot yang juga sumber pendapatan mereka selama ini juga agak uzur.


Samsuddin berkata, semua­nya bermula apabila rumah bot terpakai yang dibelinya pada kira-kira tujuh tahun mengalami kerosakan enjin pada bulan Februari tahun lalu.

“Tanpa disangka kerajaan melaksanakan PKP 1.0 kira-kira sebulan kemudian membuatkan saya tidak memiliki modal untuk membaiki kerosakan.

“Pada masa sama, rumah rakit peninggalan arwah ayah yang menjadi tempat saya dan keluarga berteduh sebelum ini semakin uzur menyebabkan kami tiada pilihan selain berpindah ke rumah bot tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pengkalan Gawi dekat sini semalam.

Samsuddin berkata, nasibnya terus ditimpa malang apabila rumah bot yang ditambatnya di tebing Pengkalan Gawi dipukul ribut pula pada musim tengkujuh akhir tahun lalu menyebabkan kerosakan pada dinding dan bumbung.


Jelasnya, bagi membaiki kerosakan rumah botnya itu terutama bahagian enjin, dia mengambil upah memandu rumah bot milik pengusaha lain sewaktu aktiviti pelancongan dibenarkan kerajaan dari bulan Jun tahun lalu hingga Januari lalu.

“Berbekalkan upah RM150 setiap trip seminggu sekali dan bantuan RM5,000 daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, saya baiki sebahagian kerosakan (rumah bot) tetapi masih belum mencukupi,” ujarnya.

Jelas beliau, dugaan PKP kali ini cukup kuat buat ­keluarganya dan dia sentiasa berdoa semua itu (PKP) cepat berlalu serta ­kehidupannya kembali normal serta dapat bekerja seperti biasa bagi kelangsungan hidup. – Kosmo


Rumah bot uzur didiami empat beranak di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam.




Join our Telegram Channel
Telegram