STOCKHOLM, Sweden – Sejenis ikan yang ditakuti kerana kecenderungan menggigit buah zakar perenang ditemui buat kali pertama di perairan Eropah, lapor akhbar Daily Star semalam.
Ikan pacu yang merupakan spesies piranha dan mempunyai gigi seperti gigi manusia, biasa ditemui di lembangan sungai di Amazon. Bagaimanapun, laman berita Eropah, Gentside melaporkan, seekor ikan yang digelar ‘pemakan testikel’ itu telah ditangkap oleh nelayan, Einar Lindgreen menggunakan perangkap belut di selatan Sweden baru-baru ini.
Menurut Henrick Carl dari Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Denmark, ikan pacu biasanya tidak berbahaya kepada manusia tetapi gigitannya boleh menyebabkan kecederaan agak serius.
“Terdapat kejadian di negara lain seperti Papua New Guinea di mana beberapa lelaki i hilang buah zakar akibat digigit pacu,” katanya kepada laman berita Sweden, The Local.
“Ikan ini menggigit kerana lapar dan saiz testikel padan dengan saiz mulutnya,” kata Carl.
Terdapat kemungkinan pacu yang ditemui di Sweden itu dibuang selepas dijadikan ikan peliharaan. Ikan tersebut turut ditemui di Tasik Michigan dan Sungai Torridge di Devon sekali gus jauh dari habitat asalnya.
Apabila pacu Devon ditemui pada 2015, ahli ekologi, Mark Diamond memberitahu akhbar The Guardian: “Walaupun spesies piranha tidak boleh hidup dalam iklim sejuk di Britain, penemuan ini menggambarkan isu sebenar iaitu perbuatan membuang ikan peliharaan atau tumbuhan eksotik ke dalam sungai yang boleh mengakibatkan kesan serius kepada hidupan liar asal.
“Ini kali pertama spesies pacu ditangkap di habitat liar di rantau Scandinavia.
Join our Telegram Channel