Kes penjenayah bebas kerana Muhyiddin sain guna nama glamor ke Mahkamah Rayuan



Isu kesahihan perintah penahanan pencegahan yang ditandatangani perdana menteri - selaku menteri dalam negeri - menggunakan "nama glamor" kini berpindah ke Mahkamah Persekutuan.

Ia merupakan susulan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 April yang membatalkan perintah penahanan pencegahan terhadap lelaki Sabah, Awang Sari Lasikan.

Pada hari itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Norsharidah Awang memutuskan bahawa perintah itu tidak sah kerana ia ditandatangani dengan nama Muhyiddin Yassin, dan bukannya nama yang tertera pada MyKad, iaitu Mahiaddin Md Yasin.


Timbalan pendakwa raya Norazlin Mohamad Yusoff memberitahu Malaysiakini hari ini, rayuan itu dikemukakan pada 2 April oleh timbalan menteri dalam negeri dan penguat kuasa kanan Pusat Koreksional Tingkah Laku di Simpang Renggam, Johor.

Norazlin berkata dia bertindak bagi pihak kedua-dua perayu terbabit.

"Ya, kami membuat rayuan dan notis difaikan pada 2 April," katanya.

Menurut Norazlin lagi hari ini ditetapkan untuk sebutan rayuan tersebut di depan Pendaftar Mahkamah Rayuan dan mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh sebutan baru.

Pada 2 April lalu peguam Awang Sari, Danial Amir Hamzah memberitahu Malaysiakini Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa sebarang keputusan eksekutif atau tindakan yang diambil oleh perdana menteri atau menteri mesti menggunakan nama itu seperti yang diwartakan, iaitu nama dalam MyKad, bukannya "nama glamor".


Peguam menjelaskan ia selaras dengan Akta Fungsi Menteri 1969 yang menetapkan bahawa nama yang dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin.

Danial menjelaskan bahawa ketika Perikatan Nasional mengambil alih pemerintahan pada awal Mac tahun lalu, masih belum ada kabinet dan Muhyiddin - selain sebagai perdana menteri - juga menjalankan tugas sebagai menteri dalam negeri.

Awang ditahan mengikut perintah yang ditandatangani Muhyiddin pada 10 Mac tahun lalu. Setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan tersebut pada 2 April, dia sudah dibebaskan dari tahanan. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram