PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, dikritik di media
sosial selepas dilaporkan mendakwa hakikat sesetengah orang tidak “takut”
Covid-19 dan melanggar perintah sekatan, membuktikan kerajaan berjaya mengawal
wabak itu.
“Bila orang tidak takut ertinya bagi sesetengah orang ini tidak (ada) wabak.
Larang pun dia buat, jangan rentas sempadan, (pun) dia buat. Dia tidak takut,
sampai kita terpaksa menggunakan kuasa-kuasa kepolisan,” Annuar dipetik
berkata oleh Malaysiakini.
“Sepatutnya bila wabak, masing-masing orang akan pertahan diri sendiri. Pada
saya itu adalah petunjuk bahawasanya kita berjaya mengawal wabak sehingga dia
tidak dianggap wabak oleh sesetengah orang.
“Itu tanda kejayaan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak di media sosial.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, menyifatkan kenyataan Annuar
sebagai tidak peka atau prihatin terhadap nasib ratusan ribu rakyat yang
terjejas akibat pandemik itu kerana “ketidakcekapan kerajaan”.
Pengasas bersama MUDA, Lim Wei Jiet berkata kenyataan Annuar tidak masuk akal
sama sekali.
Annuar seolah-olah berkata “orang ramai yang tidak takut berada dalam rumah
yang sedang terbakar menunjukkan kebakaran sudah dikawal, malah ia tidak lagi
dianggap kebakaran,” oleh bomba, kata beliau menerusi Twitter.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel