Menteri UMNO patut desak buka Parlimen, bukan sibuk pemilihan



JOHOR BAHRU - Menteri-menteri UMNO dalam kerajaan hari ini sepatutnya berjuang untuk membuka semula Parlimen dan bukannya mendesak parti untuk mengadakan pemilihan yang kini ditangguhkan akibat wabak Covid-19.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, mereka gagal mendesak Parlimen dibuka iaitu hanya untuk 220 ahli Parlimen bersidang sebaliknya mahukan pemilihan UMNO yang akan melibatkan 150,000 ahli di seluruh negara dalam keadaan pandemik itu masih melanda.

"Awak (Menteri-menteri UMNO yang mendesak diadakan pemilihan) nak buat (buka Parlimen semula) untuk 220 Ahli Parlimen (bersidang) pun susah dan berdolak-dalih. Mereka kata (tujuan adakan pemilihan UMNO) nak selesai kemelut dalam parti.


"Mereka yang mendesak ini adalah yang kalah dalam pemilihan parti sebelum ini," ujar veteran UMNO itu kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dan e-hailing di hadapan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru, Taman Suria di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah.

Pada Jumaat, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi indikasi bahawa mesyuarat perwakilan bahagian dan pemilihan UMNO untuk semua jawatan akan dilaksanakan pada September depan.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata mesyuarat itu perlu diadakan bagi menepati peruntukan dalam perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga tidak memberikan kebenaran untuk UMNO mengadakan pemilihan.


Mengenai serangan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, barisan kepimpinan parti sekarang dengan gandingan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah lebih baik daripada jawatankuasa sebelumnya.

Beliau berpendapat, UMNO kini semakin kuat bukan kerana berada dalam kerajaan tetapi selepas 22 bulan menjadi pembangkang sekali gus mendekatkan parti itu dengan akar umbi.

Selain itu, Shahrir berkata, UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

"Mungkin keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu sudah lama dibuat kerana (ketika ini) ada gerakan menafikan keputusan yang diputuskan semasa perhimpunan UMNO sebelum ini," katanya. – Sinar




Join our Telegram Channel
Telegram