KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan
diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus bermula esok hingga 18 Julai
ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman
Alias berkata tawaran itu tidak termasuk bagi kes saman dalam sebutan
mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan dalam tahun ini, kesalahan
kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.
Beliau berkata orang awam boleh membuat bayaran saman itu menerusi portal
rasmi PDRM dan aplikasi MyBayar Saman.
“Tawaran diskaun itu sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan ke arah
memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai semasa situasi wabak COVID-19.
“Sepanjang tempoh kempen ini, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan
Ibu Pejabat Polis Daerah akan ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan
COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0,” katanya menerusi
kenyataan hari ini.
Azisman berkata aplikasi MyBayar Saman yang diperkenal PDRM juga telah
dipertingkat bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan mendaftar sebagai
pengguna dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi itu.
Join our Telegram Channel