ARAU : Pemuda UMNO Bahagian Arau membidas Datuk Seri Shahidan Kassim yang berterusan menyerang dan memburukkan institusi Presiden sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pimpinan dan ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar turut menyarankan Ketua UMNO Bahagian Arau itu meninggalkan parti jika masih berterusan menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, desakan Biro Politik UMNO supaya notis persidangan Parlimen dikeluarkan dalam tempoh 14 hari adalah munasabah dan tidak menyalahi mana-mana peraturan jika dibandingkan dengan begitu banyak peraturan serta undang-undang yang telah dilanggari dengan sesuka hati oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Soalnya, jika Shahidan berpendapat perlunya notis 28 hari untuk mengadakan persidangan Parlimen adalah lebih baik Ahli Parlimen Arau itu mendesak Perdana Menteri untuk membuka Parlimen dalam tempoh tersebut.
“Untuk apa hendak mencari cari kesalahan dan memutar-belit maksud yang ingin disampaikan oleh Presiden sendiri sedangkan isu sebenar adalah soal untuk menyegerakan Parlimen bersidang sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam sidang media Shahidan baru-baru ini dilihat beliau (Shahidan) cuba melepaskan geram kepada Presiden UMNO disebabkan agenda penambahbaikan struktur kepimpinan dalaman parti yang direncanakan oleh Presiden UMNO telah mengakibatkan jawatan beliau yang selama ini mengetuai UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri terpaksa diserahkan kepada Menteri Besar.
“Nada tidak puas hati itu telah menyebabkan beliau ‘melalut-lalut’ hingga mengaitkan soal kerjasama UMNO dalam Perikatan Nasional (PN) sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO serta membangkitkan isu berkaitan hubungan Presiden UMNO dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Online melaporkan Shahidan yang juga Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) sebagai berkata, pihaknya tidak akan menerima keputusan UMNO jika bertindak sebaliknya selepas tempoh 14 hari menggesa Parlimen dibuka.
“Majoriti ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO untuk menyokong kerajaan sampai PRU (Pilihan Raya Umum). Parlimen dibubarkan No Anwar No DAP.
“Kami bersetuju Parlimen disegerakan, tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari. Itu sebenarnya tidak tepat,” kata Shahidan.
Tambah Syed Atif , apa yang dibangkitkan oleh Shahidan iaitu ‘No Anwar No DAP’ adalah menjadi sebahagian daripada intipati ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu.
Katanya, bagaimanapun, Shahidan tidak menyebut keseluruhan ‘tagline’ tersebut iaitu No Anwar No DAP dan No Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apa tujuan beliau untuk tidak menyebut keseluruhan ‘tagline’ tersebut ?, kenapa sengaja tinggalkan ‘No Bersatu’. Sekiranya keputusan ‘No Anwar No DAP, Bersatu’ hendak diubah secara rasmi, ianya perlulah sekurang-kurangnya mendapat mandat dan persetujuan di peringkat Majlis Tertinggi.
“Sehingga perkara itu dikemukakan kepada Majlis Tertinggi UMNO, adalah tidak wajar untuk pemimpin-pemimpin parti berpolemik secara berlebihan yang menimbulkan ketegangan dan krisis di dalam parti.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Buka Parlimen dalam masa 14 hari, atau... – Zahid
- TERKINI: Mesyuarat UMNO putus keluar dari kerajaan PN dalam masa 14 hari
- Najib pertahan Zahid, Parlimen boleh bersidang notis 14 hari, jangan tipu rakyat
- Ahmad Maslan dedah senarai Biro Politik UMNO yang buat keputusan keluar PN
- Tolak pemimpin derhaka titah Agong, Raja-Raja – Najib
- Hilang keyakinan terhadap Zahid? Mana ada, Bung jawab Nazri
- Pemuda UMNO Arau gesa Shahidan keluar parti jika terus serang Presiden
Join our Telegram Channel