Kedudukan Menteri Besar Terengganu kini tersepit antara masalahnya dengan
pihak istana dan juga usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih
tempat beliau.
Satu borang “SURAT AKUAN BERKANUN” sudah disediakan untuk membolehkan Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan
kesediaan mereka menolak Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai menteri
besar.
Ia didakwa disediakan untuk Adun kedua-dua parti samada dari Pas yang
mempunyai 22 Adun ataupun Umno yang mempunyai 10.
Menurut borang itu, bermula daripada Mac 2020 sehingga Jun 2021 dan juga
berdasarkan keadaan politik terkini Negeri Terengganu yang kurang stabil dalam
keadaan pandemik Covid-19, berlakunya beberapa insiden ketidakpercayaan
terhadap kepimpinan menteri besar yang sedia ada.
Mereka mendakwa wujudnya ketidakseimbangan dalam memanifestasikan agenda
kebajikan rakyat dan seolah-olah mengutamakan beberapa keutamaan yang tidak
perlu.
Oleh itu, kata borang itu, wujud satu keperluan berdasarkan daripada desakan
rakyat bawahan untuk mencadangkan suatu pilihan baru bagi jawatan Menteri
Besar untuk dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan
Zainal Abidin.
“Oleh yang demikian, Pihak kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Bin Mokhtar (ADUN Rhu Rendang) sebagai
Menteri Besar Terengganu.
“Justeru itu, pihak kami dengan penuh tawadhuk dan suci hati mencadangkan agar
Menteri Besar baru bagi Negeri Terengganu Darul Iman dilantik berdasarkan
pertimbangan dan pandangan wajar daripada KDYMM Al-Sultan Terengganu Darul
Iman setelah menimbangkan segala nasihat dan pandangan yang selaras dengan
kepentingan rakyat ,” kata borang akujani berkanun itu.
Mereka juga bersetuju sekiranya Sultan Terengganu mencemar duli memanggil
setiap ADUN Negeri Terengganu untuk menyoal dan menyatakan pandangan mereka
secara satu persatu berkenaan calon Menteri Besar Negeri Terengganu
berdasarkan hak Baginda di bawah Perlembagaan Malaysia dan juga Undang-Undang
Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.
Menurut sumber dari Terengganu, penyediaan borang dan gerakan ini diusaha oleh
seorang ahli parlimen Pas selepas beliau mempunyai masalah dengan Ahmad
Samsuri.
Ia dibuat ketika Presiden Pas yang juga ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sejak dari awal lagi, pemilihan Samsuri sebagai MB tidak disenangi oleh
sebahagian pemimpin Pas di Terengganu kerana walaupun berasal dari Besut,
Terengganu beliau tidak pernah aktif dalam politik tempatan di negeri kubu Pas
itu.
Beliau hanyalah Setiausaha Politik Presiden Pas di Kuala Lumpur dan
kemudiannya mengambil alih kerusi Rhu Rendang, tempat Hadi bertanding sebelum
ini.
Pagi ini, portal berita The Malaysian Insight melaporkan Samsuri mempunyai
masalah dengan Istana Terengganu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel