PETALING JAYA: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen
Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon bersama beberapa individu lain melanggar SOP
perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menikmati durian di sebuah kebun
dipercayai di Batu Pahat, Johor seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata, satu laporan polis
sudah dibuat berhubung video tular di media sosial itu dan kertas siasatan
sudah dibuka.
“Siasatan dijalankan bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, polis akan memanggil Ahli Parlimen itu dan beberapa individu
lain yang terlibat dalam video berkenaan untuk membantu siasatan.
Katanya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh
mengganggu siasatan.
Sementara itu, menurut laporan Malaysiakini, Rashid yang juga timbalan speaker
Dewan Rakyat menafikan dakwaan dia melanggar SOP PKP kerana menghadiri
“kenduri durian” baru-baru ini.
Sebaliknya Rashid berkata, rakaman itu adalah video lama sebelum PKP, iaitu
tahun lalu.
Bagaimanapun, beberapa warganet mendakwa video tersebut merupakan kejadian
baharu berdasarkan gambar Rashid di satu majlis di Batu Pahat, Ahad lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel