PANAS: Lebih 76 ribu undi, 82% mahu UMNO keluar dari PN



KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat atau netizen di media sosial mahu UMNO menarik sokongan dan keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama lima parti politik pada 1 Mac 2020.

Rata-rata menyifatkan UMNO tidak sesuai berada dalam kerajaan yang tiba-tiba wujud selepas menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang baharu 22 bulan menjadi kerajaan pada April 2018 hingga Februari 2020.

Rakyat kecewa UMNO masih bersama PN, mahu PRU secepat mungkin

Mereka juga menganggap PN bukan kerajaan yang sah kerana ditubuhkan hasil daripada tindakan segelintir Ahli Parlimen dari PH dan UMNO melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Justeru, apabila UMNO berada dalam kerajaan PN, rakyat merasa kecewa dan mengharapkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secepat mungkin untuk mereka memilih kerajaan sah dengan suara rakyat.

Bahkan, kebelakangan ini juga timbul suara desakan dari ahli dan pimpinan akar umbi terhadap pucuk kepemimpinan UMNO agar menarik sokongan dan keluar dari gabungan kerajaan PN.

Namun, suara akar umbi tidak diendahkan dan kini keputusan itu terletak pada dewan tertinggi UMNO iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang mempunyai suara pemutus.

Bagaimanapun, dalam kalangan MKT juga wujud sikap berbelah bahagi antara mereka, apabila ada antaranya terutama yang menjawat jawatan dalam kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan keluar dari kerajaan PN.

Malah, ada sebahagian daripada mereka yang berada di luar kerajaan beriya-iya mahu UMNO menarik diri, walaupun keputusan untuk tidak bersama PN telah diputuskan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Keadaan yang terumbang ambing, antara setuju dengan tidak setuju ini menyebabkan ahli serta pimpinan akar umbi termasuk rakyat berada dalam kekeliruan.

Mereka keliru kerana sesetengah pihak dalam parti itu  mengeluarkan kenyataan UMNO akan menarik sokongan terhadap kerajaan PN, manakala sebahagian lagi mendakwa UMNO tidak akan berbuat demikian, sebaliknya akan terus kekal bersama kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi membetulkan keadaan itu dan untuk memberi gambaran awal kepada keputusan itu, portal MalaysiaGazette mengambil inisiatif membuka peluang undi kepada orang ramai untuk mengundi sama ada sokong atau tidak jika UMNO keluar dari kerajaan PN.

Undian 24 jam bermula jam 2.30 petang semalam dan berakhir atau ditutup jam 2.30 petang ini, menyaksikan sebanyak 76,600 undi telah dikumpul.

Daripada jumlah itu, 82 peratus iaitu 62,812 undi menyokong UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN, manakala 18 peratus atau 13,788 tidak setuju, iaitu mahu UMNO terus kekal dalam kerajaan.


Media sosial Facebook Malaysia Gazette yang membuka undian dengan tajuk dan persoalan, “Majlis Tertinggi UMNO dijangka bermesyuarat untuk tarik sokongan daripada kerajaan perikatan nasional” itu turut dikongsi 639 netizen dan lebih 1,000 ulasan di ruang komen.

Bermakna, apa yang berbuku di hati ahli, pimpinan akar umbi dan pemimpin tertinggi sendiri pun sudah terjawab. Cuma tinggal lagi tentangan daripada mereka yang berada dalam kerajaan.

Malam tadi juga desas desus tersebar mengatakan ada ‘pertemuan khas’ pimpinan UMNO di Wisma Perwira di ibu negara.

Pertemuan itu dipercayai perbincangan bersama presiden berhubung keputusan untuk membawa keluar parti itu daripada PN.

Menurut sumber, selain Ahmad Zahid, pertemuan tertutup itu dikatakan turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa lagi pemimpin tertinggi parti.

“Mesyuarat itu hanya dihadiri oleh beberapa pemimpin tertinggi UMNO untuk meminta Zahid tidak membuat keputusan terburu-buru mengenai masa depan parti,” kata sumber yang enggan dikenali kepada MalaysiaGazette.


Namun, pagi ini juga, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki tampil menafikan MKT bermesyuarat malam tadi dan telah membuat ketetapan menarik diri dari kerajaan PN.

“Banyak betul fitnah malam ini, termasuklah menggambarkan MKT bermesyuarat malam ini dan buat ketetapan menarik diri dari kerajaan PN.

“Selaku Ketua Pemuda UMNO, saya tegaskan belum ada sebarang notis mesyuarat dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO.

“Kalau adapun mesyuarat bukanan MKT untuk bulai Julai ini. Saya pasti tiada mesyuarat secara fizikal kerana PKPD dan hanya melalui online,” tulis beliau menerusi Facebooknya.

Menurut Dr. Asyraf, beliau merasa pelik kenapa ada yang begitu menggelabah hingga keluar bermacam-macam cerita mengenai MKT?

Katanya lagi, orang ramai termasuk yang ‘mengambil berat’ pasal UMNO perlu bersabar kerana yang pasti, parti itu tetap berpegang kepada pendirian dan keputusan PAU, “No Anwar, No DAP, No PKR, No PPBM”. – MG

 

Join our Telegram Channel
Telegram