CYBERJAYA: Menteri Luar, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menghargai dan menjunjung kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman dan DYAM Putera Mahkota atas sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan yang bernilai USD 5 juta kepada Malaysia.
Menurut Hishammuddin, sumbangan ini melambangkan keprihatinan berterusan setelah kedua-dua kembali akrab selepas Mac tahun lepas.
Beliau yang juga Menteri Kanan Keselamatan juga menjelaskan, Arab Saudi adalah satu-satu negara yang terbesar memberi bantuan Covid-19 kepada Malaysia dan berharap keakraban ini akan kekal utuh.
“Menjunjung kasih Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman, DYAM Putera Mahkota Mohammad bin Salman serta seluruh kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi atas keprihatinan berterusan ini.
” Semoga hubungan kedua-dua negara yang kembali akrab sejak Mac tahun lepas akan kekal utuh. Amin Ya Rabbal Alamin.” ujarnya.
Dalam pada itu, ujar Hishammuddin lagi, 4.5 juta unit peralatan perubatan yang bernilai USD 5 juta ini akan dapat membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
“Kali ini termasuk surgical facemask, N95/K94 facemask, nitrile gloves, ventilator, oxygen concentrator dan lebih 10 jenis lagi peralatan lain.
” Ini bukan kali pertama Arab Saudi bantu. Mei tahun lepas kita terima kira-kira 8 juta peralatan perubatan. Ia sekaligus menjadikan Arab Saudi penyumbang terbesar bantuan COVID-19 kepada Malaysia setakat ini.” kata beliau selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mahmoud Hussein Saeed Qattan, sebentar tadi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel