PETALING JAYA: Doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) terpaksa menjalankan
prosedur dan pemulihan kardiopulmonari di atas lantai kerana kapasiti hospital
berkenaan telah melebihi had.
Dalam catatan di Instagram, seorang doktor menyuarakan kebimbangan berhubung
situasi Covid-19 dengan berkata, Jabatan Kecemasan HKL tidak mempunyai katil
dan kanvas yang mencukupi untuk menampung kemasukan pesakit.
Beliau berkata, semua lapan wad hospital itu penuh dan alat bantuan pernafasan
tidak cukup untuk diagihkan.
Malah tambahnya, pegawai perubatan terpaksa memilih pesakit mana yang
mendapatnya terlebih dahulu.
Katanya, Hospital Sungai Buloh juga melampaui kapasiti dan tidak menerima kes
rujukan seterusnya memberi risiko kepada pesakit yang memerlukan rawatan
geriatrik.
Seorang lagi pegawai perubatan menceritakan kejadian prosedur melibatkan
pesakit yang mengalami masalah pernafasan terpaksa dilakukan di atas lantai.
“Setiap hari ada yang meninggal dunia dan sangat menyedihkan untuk melihat dan
membuat keputusan siapa yang patut ‘pergi’ dahulu,” katanya.
“Orang minta bantuan kami untuk selamatkan ahli keluarga mereka sedangkan kami
juga berasa tiada harapan. Kami hanya mampu buat yang terbaik, tapi malangnya,
itu takkan cukup.”
Seorang lagi pengguna Instagram, juga seorang doktor di HKL berkata, pesakit
perlu menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di atas kerusi roda kerana
tiada katil.
“Ada 111 pesakit terpaksa berada di Jabatan Kecemasan kerana wad-wad penuh,
dengan 40 daripada mereka positif (Covid-19) dan 15 memerlukan bantuan
pernafasan.
“Ada pesakit terpaksa berkongsi oksigen kerana tangki tidak cukup untuk
semua,” katanya.
Seorang lagi doktor HKL yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, “besar
kemungkinan” catatan-catatan media sosial berkenaan dihantar ketika berada di
hospital.
“Sudah beberapa lama keadaan memang begini sibuk. (Keadaan) di Hospital Tengku
Ampuan Rahimah (HTAR) lebih teruk,” katanya, memetik seorang doktor yang
bekerja di situ.
Seorang doktor lain dari HKL berkata, tidak perlu mempersoalkan ketulenan
catatan media sosial berkenaan kerana “jawapannya sudah ada di situ”.
Tambahnya, HKL bukan satu-satunya hospital kerajaan yang mengalami situasi
drastik begitu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel