Lebih ramai pemimpin PAS tampil memberi kenyataan yang dilihat tidak sehaluan
dengan kempen mengibarkan bendera putih di rumah bagi keluarga yang memerlukan
bantuan makanan di tengah-tengah wabak Covid-19.
Ahli jawatankuasa kerja parti itu, Mokhtar Senik menyifatkan kempen itu
"seolah-olah kelihatan benar, tetapi tujuannya batil".
Mokhtar menyifatkan ia mempunyai tujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan
Nasional (PN).
"Kalau angkat bendera itu sekadar untuk memberitahu masih ada mangsa yang
tertinggal, saya setuju jika setakat itu.
"Tapi pengamatan saya tidak mengatakannya setakat itu sahaja, kerana ia
terangkum dalam tujuan dan maksud menjatuhkan kerajaan PN yang ada.
"Jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar tapi bendera DAP yang akan
naik. Maaf, jika pengamatan saya tidak betul. Tapi perhatikan betul-betul,"
katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas dua pemimpin utama PAS sebelum tidak setuju dengan
kempen kibarkan bendera putih.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Pesuruhjaya PAS
Pahang Rosli Abdul Jabar berpendapat bahawa rakyat tidak sepatutnya diajar
mengalah dan mengangkat bendera.
Nik Abduh sebaliknya meminta mereka yang diuji menadah tangan memohon doa
kepada Allah SWT.
Manakala, Rosli berkata bahawa ada cara lain yang lebih baik dan menjaga
maruah untuk orang ramai meminta bantuan.
Sementara itu, Mokhtar turut meminta para ustaz tidak cepat melatah sehingga,
menurutnya, terperangkap dengan isu yang dipolitikkan oleh pembangkang (PH).
"Kerana dalam dunia politik ini banyak perkara yang kelihatan ‘benar’ tapi
tujuannya adalah batil," katanya.
'Isu maruah kumpulan masing-masing'
Pandangan yang hampir sama dikongsi oleh Mohd Nasir Abdullah, penulis Harakah,
lidah rasmi PAS.
Dalam ulasannya, Nasir berkata bahawa kempen ini satu agenda pembangkang.
"Sekiranya anda dari kalangan politikus, anda akan sentiasa melihat kepada
pergerakan lawan anda. Isu mengibarkan bendera ini adalah isu maruah kepada
kumpulan masing-masing.
"Jika banyak bendera terkibar, ia boleh dianggap kegagalan rancangan kerajaan
bagi sesetengah pihak. Manakala jika kurang atau tiada kibaran dibuat,
bermakna kempen ini memakan diri pembangkang.
"Pakej pemulihan kerajaan akan dilihat sebagai berjaya oleh rakyat. Dan mereka
tetap akan berlawan selepas ini. Ini adalah tabiat dalam politik," katanya.
Untuk rekod PAS ketika ini adalah sebahagian daripada kerajaan dan menjadi
anggota komponen gabungan PN.
Kempen kibar bendera putih merupakan usaha yang digerakkan rakyat Malaysia di
media sosial.
Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih
di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.
Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan
bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera
'Cuba gambarkan kerajaan gagal'
Sementara itu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah), sebuah NGO yang dilihat pro-PAS
berpandangan bahawa kempen ini sebagai ada pihak yang cuba membawa naratif
bendera putih bagi menggambarkan kerajaan gagal dan rakyat susah dan
memerlukan bantuan.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata ‘trending’ yang cuba dipopularkan oleh
sesetengah pihak bagi mengajak rakyat mengibarkan bendera putih untuk
menggambarkan kekalahan dan rakyat memerlukan bantuan dan sumbangan bagi
menggambarkan kepada kegagalan kerajaan, adalah suatu tindakan yang sangat
terdesak.
"Ummah pernah menjadikan tema putih ini sebagai tanda kesatuan rakyat dan
perpaduan ummah bagi menjayakan satu himpunan yang terbesar di negara ini bagi
menunjukkan kemenangan rakyat membantah ICERD, iaitu Himpunan Ummah Membantah
ICERD pada 8 Disember 2019 yang diakui oleh semua pihak.
"Trending himpunan rakyat ini adalah putih dengan tema rakyat berpakaian putih
bagi menggambarkan kesatuan ummah.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kempen kibar bendera putih jika putus bekalan makanan dapat sambutan
- Angkat tangan berdoa, bukan angkat bendera putih – Nik Abduh
- Kempen kibar bendera putih bermotif politik – PAS
- Beras habis, 3 hari hanya kunyah biskut, ibu tunggal kibar bendera putih
- Kerajaan PAS Kedah tidak iktiraf bendera putih
- Mufti P.Pinang tidak setuju kempen bendera putih
- Lagi pemimpin PAS kurang senang kempen #BenderaPutih
- Mufti Wilayah tegur PAS isu kibar #BenderaPutih
- MB Kedah dilapor enggan hantar bantuan kepada mereka yang kibar #BenderaPutih
- Kibar #BenderaPutih boleh gugat akidah umat Islam
- Sepatutnya ajar rakyat sabar, jadi kuat, gagah, bukan kibar #BenderaPutih – Timb Menteri
- Jangan malas harap bantuan #BenderaPutih je kata Datuk Vida
Join our Telegram Channel