Umno malam ini memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan
Perikatan Nasional (PN), kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi Umno selepas
membuat penelitian kepada tujuh perkara yang diambil PN selama ini.
Kata Ahmad Zahid, kerajaan PN gagal memenuhi segala garis panduan yang
ditetapkan oleh Umno pada tahun lalu.
"Bagi memenuhi mandat sebulan suara perwakilan PAU 2020 dan berpandukan kepada
tujug kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat tadi, maka tempoh memberi
sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,"
katanya.
Justeru kata Ahmad Zahid, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara
terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu
tempoh yang terhad.
KENYATAAN MEDIA
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada hari Rabu 7 Julai
2021 bersamaan 27 Zulkaedah 1442 Hijrah secara atas talian telah membuat
ketetapan seperti berikut:
1. Mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras
dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.
2. Mengambil maklum keputusan Biro Politik UMNO melalui kenyataan Presiden
untuk memberikan tempoh 14 hari bagi Kerajaan menghormati titah Yang
di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen
secepat mungkin. Hasil tekanan yang dilakukan UMNO inilah, akhirnya Kerajaan
akur untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal
Ketiga Parlimen ke-14 bakal diadakan selama lima hari bermula 26 Julai 2021.
3. Mesyuarat juga telah memperhalusi dan menimbangkan beberapa garis panduan
utama yang ditetapkan oleh MKT pada 11 Mac 2020 tatkala UMNO memberikan
sokongan Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin selaku Perdana
Menteri. DUA PANDUAN utama adalah seperti berikut:
I. Kerajaan harus memastikan aspirasi
rakyat benar-benar direalisasikan.
II. Kerajaan harus segera menangani
kelembapan ekonomi dan melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik
Covid-19.
4. Walau bagaimanapun setelah diperhalusi, segala panduan utama yang
digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap Kerajaan
pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin
GAGAL dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. Ternyata Kerajaan
GAGAL dalam memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama
seperti berikut:
I. Kegagalan Kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan
sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. Ini termasuklah
polisi-polisi yang tidak konsisten, perlaksanaan PKP yang separa masak dan
berubah-rubah hingga rakyat dikurung secara sia-sia selama hampir 6 bulan
tanpa pembelaan yang sewajarnya. Contohnya, ‘TOTAL LOCKDOWN’ yang separa
masak hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768
korban hanya dalam tempoh 38 hari setelah PM mengumumkan ‘TOTAL LOCKDOWN’.
II. Kegagalan Kerajaan dengan
menyalahgunakan Darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga
memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang
sejak dari awal membantah keras proklamasi tersebut. Malah Ordinan Darurat
yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak
membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau
yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban
dengan isu-isu survival dan kelangsungan hidup.
III. Kegagalan Kerajaan untuk
mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan
demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela
terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani
pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi.
IV. Kegagalan Kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara
berkesan untuk semua peringkat dan kategori. Ini termasuklah tuntutan
Moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak
dipanjangkan kepada agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti LPPSA (Lembaga
Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat,
bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga
ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan.
V. Kegagalan Kerajaan untuk
memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan
kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial
seperti kes bunuh diri (Nota: Jumlah kes bunuh diri daripada Mac 2020
hingga Mei 2021 sebanyak 1,099 kes). Gerakan #BenderaPutih adalah satu
contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan Kerajaan
untuk menyantuni keperluan rakyat yang amat susah, tertekan dan terdesak
ketika ini.
VI. Kegagalan Kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga
mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan
pandemik. Indeks Pengendalian Covid yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan
negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.
VII. Kegagalan Kerajaan yang
jelas memperkotak-katikkan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan
kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan
membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Selaku parti
yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana
Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap
Kerajaan terhadap Institusi Raja.
5. Berpandukan 7 perkara di atas ternyata bahawa Kerajaan pimpinan Perdana
Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin
GAGAL memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11
Mac 2020, sebagai syarat meneruskan sokongan.
6. Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO
2020 dan berpandukan kepada 7 kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat
yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Dato' Haji
Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin selaku Perdana Menteri
DITARIK BALIK dan DITAMATKAN serta merta.
7. Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd
Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana
Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
8. Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu
kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan
inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat
disegerakan.
9. Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu
mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali
mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Ini penting
bagi membolehkan sebuah Kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh
mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam Titah Yang
di-Pertuan Agong.
10. Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang
telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali
menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led
Government).
UMNO BERSAMA RAKYAT
AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
7 Julai 2021
ARTIKEL BERKAITAN:
- Muhyiddin umum Ismail Sabri TPM, Hisham Menteri Kanan Keselamatan
- Terima kasih PM di atas perlantikan – Hisham
- MKT Umno dah putus tak terima jawatan TPM, kata Asyraf
- Tahniah Mael TPM, tunggu keputusan meeting malam ini – Najib
- Perlantikan TPM: Ismail ucap terima kasih kepada PM, Zahid, MP-MP dan seluruh rakyat Malaysia
- Pemimpin UMNO terkejut Ismail terima jawatan TPM tanpa restu parti
- Meeting MT UMNO panas, majoriti bertegas mahu keluar PN
- PANAS: Lebih 76 ribu undi, 82% mahu UMNO keluar dari PN
- Azmin ucap tahniah kepada Ismail Sabri, Hishammuddin
- UMNO tarik semula sokong, keluar PN serta merta
- UMNO tegas tidak calonkan Anwar, DAP
Join our Telegram Channel