PETALING JAYA: Pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya membuatkan menteri daripada parti itu berasa serba salah atau malu, kata Shahrir Samad.
Veteran Umno itu berkata, keputusan MKT Umno menarik balik sokongan itu mengimbau kepada peristiwa sama selepas pilihan raya umum ke-12 (PRU12) yang menyaksikan Muhyiddin terus berada dalam Jemaah Menteri selepas menyatakan Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
“Pendirian MKT Umno tidak seharusnya membuat menteri Umno serba salah atau malu kepada Muhyiddin kerana selepas bercakap di Singapura supaya Abdullah Ahmad Badawi turun segera, Muhyiddin terus kekal berada dalam Jemaah Menteri pilihan Abdullah,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun, beliau meminta menteri daripada Umno untuk bertanyakan kepada diri mereka sendiri sama ada wujud prinsip dan falsafah dalam ‘dada’ masing-masing.
“Rasa malu kepada parti? Itu kena tepuk dada, tanya selera. Kalau dalam dada ada prinsip dan falsafah, seleranya jelas. Ismail Sabri sudahpun dilantik sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri), kalau Muhyiddin turun pun, sudah ada timbalan yang boleh mengambil alih,” tambah beliau.
Shahrir berkata, kini sudah jelas Ismail Sabri boleh menjadi perdana menteri sementara dan membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan pemerintahan tanpa ‘goyang’.
“Sekarang sudah jelas. Ismail Sabri boleh jadi PM sementara, kerajaan tidak goyang. Kembali balik juga kepada parti untuk dapat restu jadi PM sebetulnya.
“Tapi, kalau Ismail jadi PM sebetulnya, jangan lupa dapatkanlah sokongan Dewan Rakyat seperti Hussein Onn lakukan pada 27 Jan 1976 (12 hari selepas dilantik PM) dan juga seperti Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Dis 2003 (tiga hari selepas perlantikan),” katanya.
Terdahulu, Umno secara rasmi menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan mahu presiden Bersatu itu meletakkan jawatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- UMNO tarik semula sokong, keluar PN serta merta
- UMNO tegas tidak calonkan Anwar, DAP
- Ku Li sedia jadi PM interim demi kepentingan rakyat
- Kenderaan bawa peguam negara, menteri ke rumah PM
- Arah menteri UMNO resign dulu, bukan desak PM berundur, kata Presiden MIC kepada Zahid
- Dulu Muhyiddin jatuhkan Pak Lah tapi dia tak letak jawatan menteri pun
- 44 dari 46 MT UMNO setuju henti sokong Muhyiddin
- PN hilang majoriti, PM hanya ada dua pilihan, letak jawatan atau bubar Parlimen
- UMNO Melaka sokong keputusan MT, Presiden henti sokong Muhyiddin
Join our Telegram Channel