Pakcik tetak bayi mati selepas ditahan



PETALING JAYA: Pergaduhan keluarga akibat isu kewangan punca seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut ditetak bapa saudaranya di Kampung Parit Mahang Jeram, semalam.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata pergaduhan itu melibatkan sesama ahli keluarga suspek dan mangsa.

“Dalam kejadian ini, ibu kepada kanak-kanak berkenaan turut mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.


Arjunaidi berkata, polis juga sudah menahan suspek lelaki berusia 27 tahun di tempat kejadian semalam dan merampas sebilah parang panjang bersamanya.

“Tangkapan awam dilakukan oleh ahli keluarga suspek sendiri. Semasa tangkapan semula dibuat, polis mendapati suspek mengalami kecederaan dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha untuk menangkapnya.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk tindakan dan siasatan lanjut, namun pada lebih kurang 4 petang, suspek didapati dalam keadaan amat lemah,” katanya.

Arjunaidi berkata, polis menghubungi pihak hospital dan suspek dibawa ke Hospital Tanjung Karang dengan ambulans.


Katanya, pihak hospital mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk merawat suspek namun lelaki itu disahkan meninggal dunia pada 6.37 petang semalam.

“Pihak keluarga suspek juga telah dihubungi dan dimaklumkan kejadian itu. Bedah siasat akan dijalankan segera selepas hospital mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19.

“Satu laporan polis dibuat keluarga si mati agar siasatan dibuat bagi tujuan mendapatkan punca sebenar kematian suspek. Susulan itu, JSJ IPK Selangor membuka kertas siasatan dan ditumpukan kepada aspek SOP ‘Duty of Care’ dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek,” katanya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:












Join our Telegram Channel
Telegram