SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan dengan segera kerana didakwa telah melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan kerajaan membatalkan darurat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda selaku ketua negara jelas menunjukkan satu bentuk penderhakaan.
“Pemuda UMNO memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.
“Ternyata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Malah, Istana Negara juga mendedahkan kerajaan sengaja ingkar dan melanggar titah Seri Paduka Baginda yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.
Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi turut menggesa ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin seperti diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 7 Julai lalu.
Tambah beliau, sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-raja Melayu, UMNO tidak boleh berkompromi dengan ‘sikap biadap’ kerajaan terhadap Seri Paduka Baginda.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.
Jelasnya, enam ordinan darurat yang telah dibuat sebelum ini berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga telah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.
Bagaimanapun, pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat berkenaan di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Agong dukacita dengan kerajaan PN tamatkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda
- PANAS: Takiyuddin tawar diri letak jawatan?
- PANAS: Azhar Azizan mahu letak jawatan?
- Pemuda UMNO desak PM letak jawatan, derhaka kepada Agong
- Sudah terlalu kusut dan sukar untuk dibela, rakan sekutu nasihatkan Muhyiddin letak jawatan
- Derhaka terhadap Agong, UMNO desak Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan
- Najib nafi sokong Mahiaddin, PN, surat itu fake
- Muhyiddin perlu bertanggungjawab, undur secara terhormat – Najib
- Kenyataan PMO bukti Mahiaddin degil, kata Puad
- Percanggahan Agong-PM, lantik PM interim bagi elak krisis perlembagaan
Join our Telegram Channel