PETALING JAYA: Sudah tiba masanya perdana menteri interim dilantik bagi mengelak negara diletakkan dalam krisis perlembagaan sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau menjangkakan PRU-15 diadakan tidak lama selepas lebih ramai rakyat Malaysia sudah divaksin pada Oktober ini.
“Ini masanya untuk semua pemimpin politik tidak kira dari kerajaan atau pembangkang untuk menyokong melantik perdana menteri interim bagi memberi tumpuan dan memastikan usaha vaksinasi tidak tergelincir.
“Oleh kerana Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) menyasarkan keseluruhan orang dewasa di Malaysia diberi vaksin sepenuhnya pada Oktober 2021, perdana menteri interim boleh membubarkan Parlimen pada akhir tahun ini dan pilihan raya umum diadakan pada awal 2022,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengumumkan Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok meliputi 75 peratus daripada populasi dewasa menjelang Oktober.
Jawatan perdana menteri interim kembali menjadi perbualan selepas Istana Negara semalam mengeluarkan satu kenyataan mengatakan Yang di-Pertuan Agong amat berdukacita apabila kerajaan Perikatan Nasional tidak mendapatkan perkenan Seri Paduka dalam memansuhkan Ordinan Darurat.
Menurut Johari, negara ketika ini sudah berada dalam keadaan getir apabila menghadapi pelbagai krisis termasuk krisis kesihatan yang berpunca daripada pandemik Covid-19.
“Setakat ini negara kita sudah menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik dan kita tidak mampu menghadapi krisis perlembagaan yang akan mempengaruhi jalan negara kita menuju pemulihan dari Covid-19.
“Dengan ungkapan dukacita Agong atas pembatalan darurat tanpa izinnya dan kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri yang menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil tindakan mengikut perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, jelas bahawa negara kita adalah menuju krisis perlembagaan,” ujarnya. – Utusan
ARTIKEL BERKAITAN:
- Agong dukacita dengan kerajaan PN tamatkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda
- PANAS: Takiyuddin tawar diri letak jawatan?
- PANAS: Azhar Azizan mahu letak jawatan?
- Pemuda UMNO desak PM letak jawatan, derhaka kepada Agong
- Sudah terlalu kusut dan sukar untuk dibela, rakan sekutu nasihatkan Muhyiddin letak jawatan
- Derhaka terhadap Agong, UMNO desak Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan
- Najib nafi sokong Mahiaddin, PN, surat itu fake
- Muhyiddin perlu bertanggungjawab, undur secara terhormat – Najib
- Kenyataan PMO bukti Mahiaddin degil, kata Puad
- Percanggahan Agong-PM, lantik PM interim bagi elak krisis perlembagaan
Join our Telegram Channel