Remaja kantoi menyamar jadi doktor di pusat vaksin Covid-19



Ketika ini, program vaksinasi sedang giat dijalankan di seluruh Malaysia dan ramai kakitangan Kesihatan terlibat untuk memastikan program ini berjalan lancar.

Akan tetapi, seorang lelaki berusia 20 tahun kantoi menyamar sebagai seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuching, Sarawak.

Menurut laporan, tertuduh menyamar sebagai seorang doktor Hospital Umum Sarawak sekurang-kurangnya sebanyak 32 kali sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu.


Malah, lelaki itu memiliki cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan sendiri yang lain.

Tertuduh ‘kantoi’ dan menimbulkan keraguan apabila berbual dengan doktor lain dimana tertuduh mengatakan dirinya hanya berusia 20 tahun pada 22 Jun 2021.

Difahamkan, tertuduh menyamar kerana berminat untuk menjadi doktor dan telah mempelajari ilmu perubatan secara dalam talian ketika ditanya oleh pihak polis.

Menerusi laporan tersebut, tidak dinyatakan sama ada tertuduh ada memberikan suntikan vaksin atau melakukan prosedur perubatan yang lain.


Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas palsu sebagai kakitangan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Disebabkan tertuduh berusia di bawah 21 tahun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan.

Kes tersebut dijadual disebut di mahkamah majistret pada 17 Ogos ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. – Vocket



Join our Telegram Channel
Telegram