Konsep derhaka, atau tidak taat kepada raja, tidak wujud dalam sistem
undang-undang Malaysia, kata dua tokoh terkemuka, dalam respons berhubung
dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan
tidak menghormati Agong.
Tuduhan “derhaka”, dari sudut sejarah bermaksud kesalahan kerana menentang
raja-raja dalam masyarakat feudal Melayu, berulang kali dilemparkan kepada
Muhyiddin oleh beberapa pemimpin pembangkang, mengatakan perdana menteri perlu
mengikut titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu Parlimen dibuka secepat
mungkin.
Kedua-dua pemimpin PKR Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Umno Ahmad
Zahid Hamidi, dilihat seia dan sekata dalam serangan terhadap kerajaan
Perikatan Nasional (PN), mengatakan Muhyiddin harus bertindak mengikut gesaan
istana, walaupun beberapa peringatan pakar dan tokoh perundangan disuarakan
bahawa Agong tertakluk kepada nasihat Kabinet dalam menjalankan tugas
rasminya.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga turut menggunakan label “derhaka” terhadap
Peguam Negara Idrus Harun selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang
menjelaskan had kuasa Agong dalam memanggil Parlimen untuk bersidang semula.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang merupakan pakar dalam
hal-hal Perlembagaan Malaysia mengatakan tiada peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan membicarakan “derhaka” atau tidak taat kepada raja.
Apa yang diiktiraf dalam sistem perundangan negara, kata Sri Ram, adalah
mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong seperti yang
diperuntukkan dalam Syeksen 121, Kanun Keseksaan.
Beliau turut berkata, kesalahan itu turut disebut dalam Akta Hasutan yang
menganggap kenyataan yang menghina institusi raja sebagai jenayah.
Namun Sri Ram memberitahu MalaysiaNow tidak mengikut nasihat raja bukanlah
satu kesalahan.
“PM atau peguam negara yang menolak untuk tidak mengikut nasihat Agong tidak
melakukan sebarang kesalahan.
“Bahkan, sebaliknya, undang-undang Perlembagaan memerintahkan Agong untuk
bertindak mengikut nasihat PM,” kata bekas hakim yang pernah berkhidmat di
Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang ketika berkhidmat mengeluarkan
lebih 800 penghakiman yang menjadi rujukan undang-undang di mahkamah Malaysia
dan Komanwel.
“Tiada apa yang dianggap sebagai derhaka kerana tidak buka Parlimen,”
tambahnya.
Feudalisme
Dengan memberikan perspektif sejarah, pemikir terkemuka Chandra Muzaffar
berkata konsep derhaka bukan sahaja bermasalah bahkan ia merupakan perkara
yang asing dalam sistem moden perundangan seperti apa yang wujud di Malaysia,
di mana kuasa-kuasa dan hak monarki dibatasi Perlembagaan negara.
“Konsep ‘derhaka’ dan amalannya sangat dipengaruhi feudalisme Melayu.
Seseorang seringkali dituduh ‘menderhaka’ ketika dia tidak mengikut kehendak
sultan dengan tanpa mengambil kira sama ada arahan itu mengikut etika atau
tidak,” kata Chandra yang pernah mengetuai kempen mempromosi lima prinsip
dalam falsafah Rukun Negara.
Beliau berkata pada masa lampau, sekiranya mereka yang diarahkan untuk
melakukan perkara yang salah bagi pihak raja gagal melaksanakannya, akan
dituduh menderhaka kepada istana.
Muhyiddin bukanlah ahli politik pertama yang dituduh “derhaka”.
Tuduhan serupa juga pernah diterima Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa kali
membuat keputusan yang bertentangan dengan Raja-Raja Melayu ketika beliau
mengetuai kerajaan.
Pada 2017, Mahathir yang bertanggungjawab membataskan kuasa-kuasa istana dan
membatalkan kekebalan undang-undang dan boleh dibicarakan dalam kesalahan
jenayah, berkata beliau tidak menghiraukan tuduhan derhaka kepada Sultan Johor
selepas dikecam sultan ekoran kritikannya mengenai projek Forest City yang
kontroversi di negeri itu.
“Sekiranya saya dituduh derhaka atas apa yang saya katakan, biarlah,” katanya
dalam tulisan yang diterbitkan The Star.
Chandra turut menyuarakan kekecewaannya terhadap ahli-ahli politik yang
menuduh musuh-musuh mereka dengan menggunsakan label “derhaka”.
“Malang sekali pemimpin politik yang sepatutnya lebih tahu, menggunakan
istilah ‘derhaka’ secara semberono dan kemudian mencipta kesalahfahaman dalam
kalangan masyarakat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel