SHAH ALAM: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di
sini, dengan hampir 50 waris menyaksikan jenazah ahli keluarga mereka yang
meninggal dunia akibat Covid-19 dikebumikan, semalam.
Mereka dilihat sudah pun tiba di situ sejak pukul 5.30 petang untuk memberi
penghormatan terakhir kepada ahli keluarga walaupun rata-rata mengakui kali
terakhir bertemu sekurang-kurangnya dua minggu lalu.
Deretan van jenazah kemudian tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 7.40
malam, dilaporkan 12 jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),
Klang dikebumikan semalam menerusi dua pergerakan berasingan
menggunakan enam van sama.
Pergerakan van jenazah kedua tiba kira-kira pukul 9.20 malam menjadikan
jumlah keseluruhan jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan di tanah perkuburan
itu sebanyak 27 orang sejak pagi lagi.
Irwan Tukiman, 39, bersama keluarga antara waris menunggu di sana tidak
dapat membayangkan situasi itu perlu dihadapi mereka sekeluarga apabila kali
terakhir bertemu bapa yang meninggal dunia pada 4 Julai lalu.
Asalnya, dia tidak menyangka arwah bapanya dibawa ambulans ke hospital
kerana kesihatannya serius, sedangkan yang sepatutnya dibawa ke sana adalah
abangnya akibat mengalami sesak nafas.
“Ya, video yang viral dalam TikTok itu ayah saya tetapi dia sudah meninggal
dunia. Pada 4 Julai lalu, salah seorang ahli keluarga membuat panggilan
kecemasan untuk bawa abang yang positif Covid-19 ke hospital kerana sesak
nafas. Apabila ambulans tiba, kakitangan kesihatan membuat pemeriksaan dan
mendapati keadaan abang stabil.
“Sebaliknya, ayah saya pula yang dibawa ke hospital menaiki ambulans,
apabila petugas membuat pemeriksaan kepada yang juga positif Covid-19.
Susulan pemeriksaan, mereka terus mengarahkan ayah dibawa ke HTAR sebelum
meninggal dunia di sana Rabu lalu,” katanya pilu ketika ditemui pemberita.
Jelasnya lagi, ketika arwah bapanya mendapat rawatan di situ, seorang
pesakit lain membuat rakaman video keadaannya ketika berada di HTAR yang
tidak mendapat perhatian daripada petugas berikutan kesesakan pesakit
Covid-19 teruk di sana ketika itu.
Sementara itu, Noraziah Mohd. Nor Rezan, 47, bersama suami, Roslan Mahmud,
57, tiba dari Ipoh, Perak untuk memberi penghormatan terakhir kepada ibu
mentuanya yang meninggal dunia pada awal pagi kelmarin.
Dia dan suami terkilan terkilan kerana berhasrat menghubungi arwah yang
tinggal di Seksyen 27, Shah Alam selepas Maghrib pada Jumaat minggu lepas
untuk bertanya khabar keadaan kesihatannya selepas disahkan positif
Covid-19, dua hari sebelum itu.
“Tak sempat telefon, sebaliknya kami dapat panggilan daripada salah seorang
ahli keluarga memaklumkan arwah emak jatuh dalam bilik air dengan keadaan
mulutnya berbuih. Kemudian dia terus dikejarkan ke hospital untuk dapatkan
rawatan.
“Arwah emak sebelum ini tak pernah ada masalah sakit lain sama ada kencing
manis, darah tinggi dan sebagainya memang langsung tidak ada. Malah dia
masih kuat dan boleh berjalan seperti biasa pada usia 83 tahun. Tetapi kami
tak sangka Covid-19 menyebabkan organ-organ dalam badannya seperti buah
pinggang rosak ketika doktor menelefon dan memberitahu kami,” luahnya.
Utusan Online difahamkan, kerajaan sedang membantu menguruskan jenazah
Covid-19 di Jabatan Forensik HTAR menerusi satu program khas yang
dilaksanakan sehingga menjelang Hari Raya Aidiladha. Sementara esok
dilaporkan, 12 lagi jenazah dikebumikan di situ.
Pemberita juga dimaklumkan, lebih 160 jenazah pesakit Covid-19 dikebumikan
di tanah perkuburan tersebut sejak wabak pandemik itu melanda negara pada
tahun lalu. – Utusan
Please subscribe
Join our Telegram Channel