CYBERJAYA: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai 5 juta USD bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
Dalam kenyataan media Istana Negara, Baginda bertitah sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Terdahulu, Arab Saudi menghantar tiga kapal terbang penuh dengan bantuan 5 hari selepas perbualan Menteri Luar, Dato’ Seri Hishammuddin dan Putera Mahkota Mohammad bin Salman.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua juga turut mengambil kesempatan menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
“Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Mulia Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud atas sumbangan ini yang tiba di Malaysia menerusi dua buah pesawat Saudia Airlines semalam dan sebuah lagi hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang telah menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.
” Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.” titah Baginda berdua, sebentar tadi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel