Kes ingkar SOP PPN: 276 ditahan, 25 premis diarah tutup



PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 276 individu dicekup dengan seramai 255 dikompaun manakala 21 lagi direman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati terus ingkar SOP.


“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,419 kilang, 17,051 premis perniagaan, 415 tapak pembinaan dan 189 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sembilan pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan tiga kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain 909 sekatan jalan raya di seluruh negara dijalankan.

Menyentuh kuarantin wajib, beliau berkata, 901 individu tiba di tanah air dengan jumlah kumulatif seramai 265,500 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.


“Sejumlah 9,707 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 672 peruncit, 158 pemborong dan 33 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,131 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram