Ismail Sabri sah PM9, angkat sumpah esok



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara pada pukul 2.30 petang esok, selepas Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikannya ke jawatan itu.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu dibuat selaras dengan peruntukan di dalam Perkara 40 (2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan selepas Majlis Raja-Raja Melayu bersidang di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, proses seterusnya selepas pelantikan itu ialah Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, pukul 2.30 petang, di Istana Negara.

Selain itu, kata Ahmad Fadil, Seri Paduka menzahirkan pandangan, kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang amat terkesan ekoran ancaman wabak berkenaan.


“Seri Paduka menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut dapat dapat diakhiri dengan segera dan semua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik ini demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka mengulangi pandangan, rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat juga diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya hari ini.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung petang tadi di Istana Negara, bagi membincangkan isu pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan Kabinet baharu selain menjadi proses akhir sebelum Seri Paduka menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak serta mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menjadi ketua kerajaan baharu.

Semalam, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ahli Parlimen dari parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyokong Ismail Sabri, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri sebelum ini didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.


Muhyiddin dan seluruh Kabinet pada 16 Ogos lalu, telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu selaku Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembgaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Antara lain, titah Seri Paduka, Raja-Raja Melayu menyokong pendirian Seri Paduka kepada pembentukan kerajaan yang lebih stabil secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian mendalam.

Ia dilakukan menerusi surat akuan bersumpah (SD) dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan secara maya dengan setiap ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung dan diakhir segera,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram