Kita tak boleh dedah berapa banyak laporan ke atas Ebit Lew diterima – Polis



PETALING JAYA: Siasatan terhadap Ebit Lew dijalankan susulan aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa pendakwah terkenal itu melakukan gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima.


“Ya, kita ada terima laporan polis tetapi kita tidak boleh dedahkan berapa banyak laporan diterima.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan kita sudah memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mana-mana individu yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Semalam, Ebit Lew, 37, hadir ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual. 


Abd. Jalil turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.

Ebit semalam menyifatkan apa yang berlaku terhadapnya sebagai fitnah yang kejam dan melampau. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram