PETALING JAYA – Biarpun jasad isteri Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sudah tiada, barang-barang miliknya dan kenangan manis hidup bersama selama 11 tahun akan mekar dalam ingatan pelawak, Shuib.
Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, berkata, salah satu daripada barangan itu ialah sehelai telekung kegemaran arwah isterinya yang tidak akan dibasuh selama-lamanya.
Kata Shuib, telekung berwarna putih yang selalu dipakai pelantun lagu Kesetiaan itu kini menjadi peninggalan paling berharga untuk dikenang dan menemani hidupnya selain empat zuriat mereka.
“Ini adalah telekung yang paling digemarinya. Jadi, memang tak akan dibasuh. Dia jarang pakai telekung lain. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada peninggalannya. Allahukbar.
“Insya-Allah, telekung ini akan selalu mengikut (saya) ke mana-mana,” kata Shuib usai majlis tahlil dan doa selamat yang dianjurkan secara maya malam kelmarin.
Majlis tahlil dan doa selamat melibatkan kira-kira 600 orang itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Bercerita lanjut mengenai kehidupan tanpa isteri di sisi, Shuib memberitahu, ia ibarat mimpi, namun sedikit demi sedikit dia sudah mula menelan realiti pahit tersebut.
“Apabila saya bangun dan turun ke tingkat bawah, saya sedar semua ini bukan mimpi. Dia (Sarah) sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, juara Raja Lawak musim ketiga itu menyifatkan bayi keempatnya, Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu sebagai hadiah paling berharga daripada arwah isterinya.
“Dia memilih nama dan tarikh bersalin pada 30 September, namun dia menggadaikan nyawa melahirkan tanpa melihat wajah zuriat kami,” katanya.
Dalam pada itu, hasrat Shuib untuk menatap wajah Ayash Affan semalam terpaksa dipendamkan atas nasihat pihak hospital bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Covid-19.
Pengurus Siti Sarah, Nana Mohammad Rom berkata, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz menghubungi Shuib dan berbincang mengenai lawatan ke atas Ayash Affan yang dilahirkan pramatang.
“Shuib juga memahami situasi pandemik kerana dia juga amat mementingkan kesihatan bayi serta semua yang berada di wad dan sedia menanti sehingga keadaan bayinya betul-betul sihat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel