TMJ, Zahid, Hishammuddin ucap tahniah Ismail Sabri PM9



PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersyukur atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 seperti yang diumumkan oleh Istana Negara hari ini.

“Syukur Alhamdulillah. Setinggi-tinggi penghargaan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan seluruh Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu status di Facebook miliknya.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas mempunyai majoriti 114 sokongan Ahli Parlimen. – Kosmo


PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan sekalung tahniah atas pengumuman pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9.

Hishammuddin berkata, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan.

“Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis Covid-19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta. Amin Ya Rabbal Alamin.

“Selamat menjalankan amanah Datuk Seri. Semoga Allah merahmati ketentuan ini,” katanya dalam satu status di laman Facebook miliknya hari ini. – Kosmo


PETALING JAYA – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik poster memaparkan gambar Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 di laman Twitter miliknya hari ini.

“Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9,” katanya dalam status di laman tersebut. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram