KUALA LUMPUR: Hari kedua sidang Dewan Rakyat kecoh ketika perbahasan mengenai isu sekatan terhadap wakil rakyat memasuki bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Isu itu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoal tindakan polis menyekat hak wakil rakyat untuk ke Parlimen pada hari berkenaan, termasuk mereka yang hanya ingin ke situ untuk mengambil barang yang ditinggalkan.
“Sedarkah tuan speaker, 2 Ogos lalu apabila Ahli Parlimen pembangkang dalam perjalanan ke Parlimen (mereka) disekat di bulatan Bank Negara,” kata Rayer.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) menyatakan beliau tidak dibenarkan masuk ke Parlimen.
Menurut Wong, dia juga diberi amaran beredar dalam masa dua minit atau ditangkap atas kesalahan cuba melepasi sekatan jalan raya.
Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) melontar ungkapan “mangkuk” (membawa erti tidak masuk akal) apabila membantah penjelasan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam mempertahankan tindakan polis mengenakan sekatan itu.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menegur Mahfuz kerana menggunakan perkataan “tidak elok” itu.
“Pokok Sena (Mahfuz) kata ‘mangkuk’ ke? Janganlah kata ‘mangkuk’, tidak elok,” tegur Azhar.
Hamzah berkata, tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Ini untuk menjaga Yang Berhormat supaya dapat hadir ke sidang Dewan Rakyat hari ini. Ketika itu kes mencecah hampir 100 kes positif di dalam dewan.
Hamzah menjelaskan Parlimen telah ditangguhkan dan tiada keperluan untuk Ahli Dewan Rakyat hadir ke Parlimen lagi.
“Parlimen telah pun ditangguhkan persidangannya. Maka sebab itu apabila arahan untuk tidak dibenarkan masuk, polis mengambil kuasa telah mengarahkannya mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi apa yang menjadi masalah kita di sini?
“Masalahnya adalah sama ada kita nak mendengar dari segi keputusan Akta 342 atau pun tak nak mendengar untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang lebih menjadi masalah kepada rakyat, iaitu untuk tidak ada berkumpul di mana sebab itu polis melakukan sesuatu demi keselamatan semua pihak,” jelasnya.
Pada masa sama, Hamzah turut menjelaskan bahawa pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kini mengadakan perbincangan untuk mengurangkan kompaun RM3,000 yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen yang berkumpul pada 2 Ogos lalu.
“Tidak ada dua darjat antara Ahli Parlimen dengan rakyat lain yang berkumpul sebegitu. Jadi sebab itu kita terpaksa minta maaf, kita bagi kompaun kerana (yang) berkumpul yang melanggar undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut tidak mampu menenangkan keadaan, apabila Mahfuz mempersoal mengapa Ahli Parlimen parti kerajaan dibenarkan berkumpul di kediaman bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel