Hishammuddin kembali ketuai pengurusan pandemik bawah MKN



KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk COVID-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perkara itu dimaklumkan Hishammuddin dalam sidang media khas di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

"Sidang Khas MKN hari ini mengesahkan bahawa saya akan kembali mengetuai usaha pengurusan pandemik di bawah MKN.

"Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa.


"Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif," katanya yang turut memaklumkan usaha memperkemas SOP kini dalam tindakan dan dilakukan secara berterusan.

Katanya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam, menyebut negara bakal memasuki fasa endemik bermula hujung Oktober ini yang mana kerajaan serta rakyat harus bersama-sama bersiap sedia bagi menjalani kehidupan seharian dengan norma baharu dan hidup bersama COVID-19.

"Dalam menuju ke arah fasa endemik ini, amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pihaknya berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama.

"Pertama, kita berharap mendapat maklum balas daripada orang ramai bagaimana kita dapat memudah cara penyampaian segala SOP yang telahpun digubal.


"Kedua, kita perlu pastikan semua SOP itu dapat mengimbangi tuntutan kesihatan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat difahami oleh orang ramai," katanya.

Beliau berkata ia supaya tidak ada polemik dan isu-isu yang menular sehingga perkara yang baik, yang diterima ramai tidak dapat dilaksanakan kerana segelintir mereka yang tidak yakin dengan yang kerajaan mahu laksanakan.

"Percayalah apa (SOP) yang kita umumkan ini berdasarkan 'the best practices' yang diguna pakai di seluruh dunia.

"Sebagai menteri yang pernah memegang jawatan Menteri Luar Negeri, saya mengesahkan tidak ada negara di luar sana yang terkecuali daripada memikirkan cara yang terbaik untuk berhadapan dan memerangi COVID-19," katanya.

Hishammuddin berkata segala maklum balas dan pandangan itu boleh diberikan menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial termasuk medium media sosial peribadinya. – BHarian




Join our Telegram Channel
Telegram