Lelaki 53 tahun peluk, gesel kemaluan kanak-kanak ditahan

Suspek dikenal pasti bukan penduduk di flat berkenaan, namun berada di situ dengan alasan untuk mencari seorang rakan lamanya.


PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencabul tiga kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun di tangga sebuah flat di Sri Damansara, di sini, semalam.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, yang juga bapa kepada seorang mangsa, kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bapa mangsa membuat aduan polis selepas melihat satu rakaman video berdurasi 19 saat yang ditunjukkan oleh pengerusi persatuan penduduk flat terbabit.


“Kandungan rakaman video itu menunjukkan suspek memeluk dan menggeselkan kemaluannya beberapa kali pada mangsa yang berusia tujuh tahun di tangga flat berkenaan.

“Rakaman video itu berjaya dirakam oleh seorang penduduk yang terserempak dengan perbuatan suspek,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, suspek ditahan oleh saksi kejadian bersama beberapa penduduk flat dengan bantuan pihak polis.

“Suspek dikenal pasti bukan penduduk di flat berkenaan tetapi berada di situ dengan alasan untuk mencari seorang rakan lamanya.


“Siasatan awal mendapati suspek juga melakukan perbuatan yang menjengkelkan itu ke atas dua lagi rakan mangsa, kedua-duanya berusia 11 tahun di lokasi yang sama,” katanya yang turut memaklumkan pihaknya sedang mengesan sekiranya terdapat mangsa lain.

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek direman tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. – Bernama




Join our Telegram Channel
Telegram