Sejak kebelakangan ini, saya telah menerima banyak maklumat tentang denda
cukai tambahan yang dikenakan terhadap saya.
Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya bahawa
kes cukai tambahan RM1.7b ini sebenarnya telah disiasat 3 kali sejak 2018.
Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan
penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan
tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.
Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak
melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi
LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah
diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu.
Sudah tentu ini menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan dari arahan
ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan, serta asas
undang-undang malah ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri
dan jelas menyalahgunakan kuasa.
Tetapi disebabkan oleh tindakan pegawai tertinggi LHDN itu selepas menerima
arahan dari ahli politik tertentu, saya dikenakan cukai ke atas:
1) Wang yang disebut RM2.6b yang telah dikembalikan kepada penghantar empat
bulan selepas diterima - tetapi masih dikirakan sebagai pendapatan.
2) Wang yang dipindah dari akaun bank atas nama saya ke satu lagi akaun atas
nama saya juga dikira sebagai pendapatan.
Tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk:
1) tidak membenarkan kes saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan
(PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan.
2) Diteruskan tindakan untuk bankrapkan saya tanpa diberikan peluang untuk
pertikaikan keabsahan pengiraan taksiran.
Berdasarkan maklumat serta bukti kukuh saya terima, saya telah membuat laporan
polis terhadap LHDN tengah hari ini sebab saya dimaklumkan secara sahih bahawa
pegawai-pegawai terbabit serta ahli-ahli politik tertentu dipercayai dengan
jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun
Keseksaan dan Seksyen 23 Akta SPRM yang membabitkan salah guna kuasa dan
penggunaan dokumen palsu.
Berhubung dengan itu juga, saya mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit
cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatan saya yang telahpun dikemukakan
kepada mahkamah.
Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada
mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan
kepada mana-mana pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri
keabsahaan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal
dan melangkaui undang-undang.
Saya percaya pihak polis akan siasat secara mendalam dan menegakkan keadilan
terhadap saya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel