Pelawak popular didakwa ceroboh rumah bekas teman wanita



PETALING JAYA – Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa bekas teman lelakinya yang juga seorang pelawak popular tanah air menceroboh kediamannya di sebuah kondominium di daerah ini, kelmarin. 

Menurut sumber, wanita berusia 28 tahun yang menjalankan perniagaan online itu mendakwa kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam ketika dia berada di rumah seorang diri.

“Pelawak tersebut didakwa masuk ke rumah wanita itu yang tidak berkunci selepas pembantu rumahnya keluar lalu menyelongkar barang-barang rumah seperti mencari sesuatu.


“Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit berasa tidak selesa dan terancam lalu menghalau pelawak itu keluar dari rumahnya

“Wanita itu mendakwa pelawak tersebut bertindak demikian kerana mengesyakinya membawa balik lelaki lain di rumah berkenaan,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Kata sumber itu lagi, berikutan itu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sehingga mendatangkan bunyi bising dan perbuatan mereka telah ditegur oleh jiran sebelum pelawak itu beredar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan daripada wanita tersebut semalam.


Jelas beliau, kedua-dua individu terbabit dimaklumkan tidak mahu memanjangkan kes tersebut dan memilih jalan untuk berdamai.

Terdahulu, wanita tersebut memuat naik gambar pelawak berkenaan di IG Story sambil meluahkan rasa rimas dengan mendakwa masih lagi diganggu oleh lelaki itu.

Bagaimanapun, gambar berkenaan sudah dipadamkan selepas beberapa minit memuat naik gambar tersebut. – Kosmo 

 

Join our Telegram Channel
Telegram